Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui sukar menerima kenyataan Malaysia gagal melayakkan diri ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) 2020.

“Amat perit terkeluar dari saingan AFCU23 walaupun tanpa tewas! Kesungguhan dan komitmen para pemain amat dihargai namun banyak lagi perlu diperbaiki,” katanya menerusi akaun Twitter @OKS_HarimauMsia miliknya hari ini.

Malaysia menamatkan pusingan kelayakan selaku naib juara kumpulan, berkongsi tujuh mata dengan China yang memiliki kelebihan jaringan untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, impian menyaksikan skuad kendalian Kim Swee beraksi di pusingan akhir kejuaraan yang dijadual berlangsung di Bangkok, tahun hadapan, musnah apabila Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan naib juara terbaik untuk menyertai 12 pasukan lain.

Dalam pada itu, pengendali berusia 48 tahun itu menghargai sokongan yang diberikan peminat bola sepak tanah air sepanjang kempen kelayakan itu berlangsung termasuk jumlah 26,183 penyokong yang hadir ke Stadium Shah Alam pada aksi berdepan China yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, semalam.

Sebagai rekod, Malaysia dibimbing Kim Swee layak ke pusingan akhir buat julung kalinya pada edisi 2018 di China dan berjaya mencipta sejarah mara ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan. – BERNAMA