Warga asing mengambil sampel ujian saringan Covid-19 berikutan mulai hari ini sektor perindustrian dan pembinaan diwajibkan mengambil ujian calitan untuk setiap pekerja asing bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan memastikan tiada lagi kelewatan dalam proses laporan positif Covid-19 di masa akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan drastik kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini disebabkan kelewatan di makmal swasta untuk memaklumkan kes berkenaan.

“Saya dimaklumkan kelewatan itu sudah tidak ada. Dulu sistem kita tidak integrasi iaitu apabila keputusan sudah keluar, doktor swasta tidak dimaklumkan.

“Apabila doktor swasta tidak dimaklumkan, dia tidak maklumkan kepada pejabat kesihatan daerah. Kalau keputusan sudah keluar tapi PKD tidak dimaklumkan jadi tidak ada dalam sistem, itu yang lambat. Proses pengesanan kontak rapat pun akan lambat juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 siri 2 2021: Ujian pengesanan Covid-19 dan kesiapsiagaan maklam KKM secara maya sebentar tadi bagi  menjawab pertanyaan media mengenai peningkatan drastik kes positif Covid-19 baru-baru ini.

Pada bulan lalu, Noor Hisham menjelaskan jumlah kes baharu meningkat mendadak  disebabkan oleh pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM telah mengarahkan agar kesemua 23 makmal swasta yang menjalankan ujian saringan Covid-19 agar terus memasukkan hasil ujian makmal sama ada positif mahupun negatif.

“Kita sudah keluarkan pekeliling kepada semua 23 makmal swasta dan juga pengamal perubatan swasta untuk memastikan maklumat keputusan positif dibuat secepat mungkin dan dinotifikasi.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kes kumulatif yang tinggi di negari itu disebabkan saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus.

Kelemahan itu menjadi penyumbang kepada peningkatan kes baharu Covid-19 di Selangor. – MalaysiaGazette