cuaca
Mohamad Hasan dan Raja Salbiah Tengku Nujumudin mengundi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di SJKC Chung Hua, Rantau, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2023.

SEREMBAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan pengundi di enam negeri supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada waktu pagi.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, sebelum ini, Jabatan Meteorologi meramalkan kemungkinan berlaku hujan ribut di beberapa negeri pada waktu petang.

“Saya berharap semua pengundi datang seawal yang boleh kerana cuaca pada sebelah petang tak menentu.

“Tunaikan tanggungjawab kita keluar mengundi, selepas itu buat kerja harian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengundi bersama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua, Rantau di sini, hari ini.

Pemerhatian MalaysiaGazette pada waktu pagi mendapati masih belum ramai pengundi yang hadir di pusat pengundian tersebut manakala langit mula kelihatan mendung.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden UMNO itu menyifatkan proses kempen yang berlangsung selama dua minggu sebelum ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, kesemua parti yang bertanding iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) telah berkempen secara sihat.

“Tiada kecam mengecam antara satu sama lain cuma masing-masing minta dan merayu supaya pengundi beri undi kepada mereka,” jelasnya.

Mohamad menambah, apa yang penting, selepas pilihan raya berakhir, calon-calon yang menang mesti bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette