Pengurusan Masjid Nur As-Sa'adah, Kampung Pengkalan Batu, Melaka, mengambil inisiatif mengadakan Kem Anak Soleh melibatkan 68 kanak-kanak dan remaja berusia 5 hingga 17 tahun.

MELAKA – Generasi muda hari ini perlu dilibatkan dengan lebih banyak program berunsur kerohanian sekali gus dapat mengelak mereka menghabiskan masa terutamanya cuti sekolah dengan aktiviti tidak berfaedah.

Bertitik tolak daripada itu,pengurusan Masjid Nur As-Sa’adah di Kampung Pengkalan Batu di sini mengambil inisiatif mengadakan Kem Anak Soleh melibatkan 68 kanak-kanak dan remaja berusia 5 hingga 17 tahun.

Ramli Ahmad

Pengarah program yang juga Pengerusi Biro Jawatankuasa Generasi Muda masjid berkenaan, Ramli Ahmad berkata, kem selama empat hari itu memfokuskan kepada pembaikan ilmu bacaan al-Quran dan ibadah lain.

“Peserta kem dibimbing empat fasilitator yang mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam ilmu pengurusan jenazah, hafazan al-Quran dan pemantapan asas fardu ain seperti wuduk, tayamum serta solat.

“Mereka turut diberi motivasi sebagai perisai mengawal emosi dan nafsu dalam dunia digital hari ini yang semuanya dapat dipengaruhi di hujung jari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Datuk Amzah Osman

Pengerusi Masjid Nur As-Sa’adah, Datuk Amzah Osman berkata, kem yang julung kalinya diadakan itu bertujuan membentuk membentuk sahsiah diri yang terpuji dan bukan hanya cemerlang dalam peperiksaan di sekolah.

“Penganjuran kem ini juga adalah susulan daripada kejayaan program 40 Hari Istiqomah Subuh yang dilaksanakan dua tahun lalu dengan menawarkan hadiah basikal dan motosikal.

“Kali ini kita cuba buat pengisian bersifat ilmiah kepada kanak-kanak dan remaja sekolah menengah dalam waktu empat jam sehari,” katanya.

Muhammad Abqari Arznan

Sementara itu, peserta Kem Anak Soleh, Muhammad Abqari Arznan, 13, berkata kem itu amat bermanfaat apabila dapat mempelajari dan memperbetulkan ibadah mereka.

“Sebagai contoh, mungkin selama ini, saya rasa bacaan dan cara saya ambil wuduk itu dah betul tapi di sini saya dapat perbaikinya lagi.

“Ini satu program yang baik, sekurang-kurangnya adalah aktiviti lebih bermanfaat selain mengadap televisyen dan telefon bimbit di rumah,” katanya.

Daniel Mikail Mohd Ilham

Bagi Daniel Mikail Mohd Ilham, 14, kem berkenaan walaupun hanya melibatkan waktu singkat empat jam sehari, ia memberi kesan besar buatnya.

“Macam-macam ilmu baharu saya dapat di sini terutamanya bacaan surah dalam solat, cara betul mandi wajib dan banyak lagi,” katanya. – MalaysiaGazette