KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta supaya lebih tegas dan telus dalam menangani isu menggemparkan rakyat di negara ini berhubung penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga asing.

Isu itu sesuatu yang langsung tidak dapat diterima sekaligus menunjukkan ada dalam kalangan rakyat kita sendiri sanggup ‘menggadai negara’ demi wang ringgit.

Pengerusi MIC Negeri Pulau Pinang, Datuk M Nyanasegaran melahirkan rasa bimbangnya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi tentang laporan berita ‘1000 miliki MyKad sah’ beberapa hari lepas.

“Sebenarnya ini bukan tentang politik, ini tentang keselamatan, maruah negara. Bagaimana kad pengenalan kita ini boleh lolos dengan begitu mudah sekali kepada warga asing sehingga ramai memiliki MyKad seperti ini.

“Tolonglah siasat, adakah laporan ini sahih? Adakah jumlah ini hanya dakwaan atau ada lebih daripada ini? Tolong tampil berikan kita yang resah ini penjelasan.

“Saya berpandangan dakwaan yang terkandung dalam laporan Harian Metro pada 14 September adalah sangat berat dan jelas menunjukkan terdapat satu gerakan atau sindiket melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk KDN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga Jabatan Imigresen sebalik gejala ini.

“KDN perlu segera menyiasat semua ini, gunakan seluruh jentera khasnya agensi berkaitan agar kita dapat kenal pasti bukan sahaja dalang sebaliknya jalan untuk menyelesaikan isu ini. Ini bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan begitu sahaja,” katanya.

Kata Nyanasegaran lagi, pihaknya juga hairan apabila laporan itu juga menyebut jumlah yang direkodkan hanya bagi tempoh lima bulan kebelakangan ini iaitu antara Januari hingga Mei 2019.

“Sekali lagi saya katakan, ini bukan soal politik dan saya tidak ingin untuk tuding jari kepada sesiapa, tetapi ingin sekali saya ingatkan anda, dulu ketika kerajaan ini masih bergela pembangkang, ada juga desas desus seperti ini.

“Namun angka yang dilaporkan tidak seperti dakwaan yang dibuat oleh segelintir pihak sebelum menang pilihan raya.

“Saya mohon segerakan tindakan tegas dan jangan terlalu retorik atau menuding jari kepada kerajaan terdahulu kerana kini kuasa itu dalam tangan anda.

“Tolong kenal pasti semua individu asing ini, batalkan kesemua MyKad tersebut dan hantar mereka pulang ke negara masing-masing. Itu yang sebaiknya.

“KDN perlu telus, ambil tanggungjawab dan laporkan yang sebetulnya supaya kami rakyat tidak perlu bimbang seperti ini. Tindakan serius juga perlu segera di ambil mana-mana rakyat kita yang bersalah menjual kewarganegaraan ini tanpa sebarang belas.

“Biarlah tindakan tegas itu menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sesekali mengulangi perbuataan seumpama ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette