Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri telah mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura berhubung pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang tahanan warganegara Malaysia, Nagaenthran K. Dhamalingam.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian  melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada Nagaenthran serta keluarganya.

Katanya, beliau ada menerima surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

“Dalam surat itu Maria memaklumkan pelaksanaan hukuman tersebut serta memohon supaya Kementerian Luar Negeri membangkitkan kes ini dengan kerajaan Singapura,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden, bagaimanapun permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.

Hukuman mati akan dilaksanakan pada 10 November ini. – MalaysiaGazette