Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof diiringi Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor (empat kiri) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Hatta Ramli (tiga kanan) melancarkan 'TEKUN Delivery' pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Tekun Nasional ke 20 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan peruntukan tambahan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan ia dianggap amat bermakna.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawa, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang memaklumkan permintaannya sebelum ini kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendapat respon positif.

Beliau mengganggarkan sebanyak 15 hingga 20 peratus pertambahan peruntukan khusus untuk aktiviti pembangunan akan dinikmati kementeriannya tahun depan.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri supaya ada sedikit pindaan (bajet) untuk melaksanakan program yang telah pun kita rancang dan alhamdulillah beliau setuju menambah sedikit yang saya rasa tidak perlu saya sebut di sini tapi amat bermakna kepada kementerian untuk kita salurkan kepada agensi-agensi mengikut merit pelaksanaan,” katanya ketika sidang media selepas hadir pada majlis sambutan ulang tahun Tekun Nasional (TEKUN) Ke-20 di sini hari ini.

Turut hadir semasa majlis, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohd Hatta Ramli.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, tambahan peruntukan tersebut juga akan diberikan kepada TEKUN mengikut keperluan dari masa ke semasa.

“Kita kena berbincang (berapa untuk TEKUN)  daripada tambahan kepada kementerian,” tambahnya,

Terdahulu Kementerian Pembangunan Usahawan semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada  Oktober yang lalu menerima peruntukan geran berjumlah RM445 juta untuk kegunaan pembiayaan, penyediaan premis, perniagaan dan kepada usahawan Bumiputera.-MalaysiaGazette