Taska yang beroperasi perlu menekankan kepada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Berita baik kepada ibu bapa yang bekerja, tidak perlu bimbang dengan anak mereka kerana Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) telah dibuka mulai sekarang.

Kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka juga tidak perlu bimbang dengan desakan majikan agar mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurut beliau, mulai esok ibu bapa boleh menghantar anak masing-masing di Taska yang berdaftar dengan kerajaan tetapi perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

Ismail Sabri Yaakob

Ujar beliau, dari kira-kira 7,000 Taska berdaftar di seluruh negara, hanya 304 yang beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPB berpandukan SOP asas yang diluluskan kerajaan.

“Hari ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membentangkan SOP yang telah diperkemaskan berhubung operasi Taska kepada Mesyuarat Khas.

“SOP yang diperkemaskan ini akan membolehkan baki 6,696 Taska lagi untuk beroperasi serta merta dan pengusahanya boleh merujuk laman web KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk maklumat lanjut,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, bagi SOP operasi Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan sebelum dibenarkan beroperasi.

Ini kerana, katanya, pengurusan Tadika dan Tabika terletak di bawah penyeliaan pelbagai kementerian.

“Kita ada tiga pusat asuhan iaitu Tadika Kemas bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Tabika Perpaduan bawah Kementerian Perpaduan Negara dan prasekolah bawah Kementerian Pendidikan.

“Oleh kerana pelbagai kementerian, maka mesyuarat Menteri hari ini bersetuju melantik Kementerian Pendidikan sebagai penyelaras kepada semua pusat asuhan ini dan akan mencadangkan SOP untuk diselaraskan dengan semua Tadika dan Tabika.

“Kalau mereka hendak kerajaan luluskan operasi Tadika dan Tabika pada Julai ini pun, kita akan pertimbangkan. Kerajaan hendak tengok SOP yang akan dibentangkan dahulu,” kata Ismail Sabri. – MalaysiaGazette