Reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memasuki kediamannya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Hasil keputusan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan tadi akan dikeluarkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui di kediaman beliau malam tadi.

Wan Azizah didekati oleh pengamal media yang berkampung di hadapan kediaman beliau di Bukit Segambut Dalam, Segambut di sini  sebaik sahaja kenderaan Vellfire putih yang dinaiki olehnya  tiba di hadapan pintu pagar utama kediaman peribadinya.

Menyedari dikerumuni media, Ahli Parlimen Pandan itu menurunkan cermin dan melemparkan senyuman terhadap wartawan.

Ditanya perkembangan mesyuarat petang tadi di luar pejabat PKR, beliau secara ringkas menjawab:” Alhamdulillah satu statement (kenyataan) akan dikeluarkan.

“Saya tak tahu berapa (tempoh mesyuarat), saya datang lambat, kerana saya tidak ada outrider (pengiring),” katanya ketika ditanya kepadanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsikan perkembangan kesihatan emaknya yang di rawat di hospital.

“Mufti Wilayah Persekutuan kebetulan datang ziarah orang lain tapi bersebelahan mak saya,

“Juga turut doakan mak saya..Saya berbesar hati,” tegasnya sebelum kenderaannya memasuki kediamannya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu  sempat memberikan buah pisang kepada media untuk dijamu.-MalaysiaGazette