Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Pembangkang digesa tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu tentang ekonomi negara yang boleh menggusarkan, sekaligus membantutkan hasrat pelabur asing yang ingin melabur di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan yang membuat gesaan itu berkata, sebarang tuduhan tidak berasas pihak pembangkang terhadap kerajaan boleh menjejaskan imej serta ekonomi negara.

“Bila mereka katakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (Lembaga Tabung Haji) muflis, malah menuduh kerajaan tidak mampu membayar gaji rakyatnya yang bekerja, ia dilihat sebagai tindakan memburukkan imej dan ekonomi negara.

“Meskipun pihak pembangkang meluahkan kata-kata tersebut dalam ceramah kecil, namun dengan kewujudan media sosial kini ia mudah disebarkan ke pelbagai pihak dan ini boleh membawa sentimen yang kurang baik terhadap pelabur asing yang ingin melabur di negara ini,” katanya kepada Bernama di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang menyifatkan lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini melenyapkan tuduhan palsu pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa Malaysia kononnya negara gagal.

Najib pada sesi pertanyaan menteri, dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata lawatan yang mempunyai kepentingan dari pelbagai sudut itu, nyata membuktikan maklumat salah mengenai Malaysia yang disampaikan kepada kerajaan Arab Saudi, adalah tidak berasas.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata pembangkang sewajarnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, kerana usaha memakmurkan negara merupakan tanggungjawab bersama kerajaan dan pembangkang.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan kerajaan Arab Saudi yang tidak termakan dengan tohmahan, sebaliknya membawa bersama pelaburan berskala besar yang memberi pelbagai manfaat kepada Malaysia.

Raja Salman mengadakan lawatan negara empat hari ke Malaysia bermula 26 Feb lalu, negara pertama yang dikunjunginya dalam rangka lawatan baginda ke Asia Tenggara, sejak menaiki takhta pada 2015.

Baginda yang diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan itu berada di Malaysia sehingga 1 Mac.-MalaysiaGazette