Gambar hiasan

Oleh: Suzy Aziziyana Saili

ISU polarisasi pelajar di institusi pengajian tinggi telah lama diperkatakan. Walaupun polisi-polisi pendidikan kebangsaan telah berusaha untuk menyemai semangat perpaduan yang telah dimulakan sejak sekolah rendah lagi, malangnya perkara ini masih lagi berlaku. Didapati walaupun terdapat banyak peluang untuk berinteraksi di antara pelajar berlainan etnik di institusi pengajian tinggi, pelajar secara keseluruhannya masih mempunyai hubungan sosial yang sederhana.

Aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum adalah telah menjadi fokus utama di dalam pendidikan negara. Oleh yang demikian, dasar-dasar pendidikan yang digubal bermula sejak kemerdekaan, dan terutama selepas peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 memfokuskan aspek perpaduan bermula dari sekolah rendah lagi. Ini dapat dilihat melalui Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Usaha perpaduan juga diteruskan di peringkat di universiti-universiti awam dan swasta yang dapat dilihat melalui pengenalan subjek-subjek seperti Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia, dan Pengajian Malaysia.

Subjek Hubungan Etnik dan Tamadun Islam dan Tamadun Asia mula ditawarkan di universiti swasta bermula bulan September 2013. Di sebalik usaha ini, pengkaji-pengkaji lepas seperti Ramlee Mustapha, Rusimah Sayuti, Hamidah Ab. Rahman dan Mansor Mohd Nor berpendapat bahawa hubungan sosial di antara pelajar pelbagai etnik di institusi pengajian tinggi masih lagi terlalu rendah.

Pendidikan sepatutnya berjaya menyatukan pelajar atau mencipta perpaduan. Tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya iaitu masih lagi timbul isu-isu berkaitan antara etnik. Pada peringkat universiti, masalah-masalah yang melibatkan hubungan etnik dapat dilihat dengan (a) wujudnya polarisasi kaum, (b) isu kuota ke universiti awam, (c) kurangnya kefahaman dan penerimaan terhadap etnik lain, (d) matapelajaran yang berat sebelah yang meminggirkan sumbangan dan peranan etnik bukan Melayu, (e) serta isu politik negara yang memberi impak kepada mahasiswa berlainan etnik di dalam universiti.Terdapat juga dalam kalangan pengkaji, menyatakan bahawa antara faktor penyebab berlakunya polarisasi kaum di universiti awam termasuklah (a) tahap interaksi yang rendah dalam kalangan pelajar pelbagai etnik, (b) kecenderungan untuk memilih rakan dari etnik yang sama, (c) wujudnya sikap prejudis, stereotaip dan etnosentrisme, serta (d) aktiviti pelajar yang mengikut garis etnik dan bukannya merentas garis etnik. Prasangka dan stereotaip yang kuat serta tahap etnosentrisme yang tinggi adalah antara faktor penyumbang kepada kurangnya kefahaman dan penerimaan terhadap etnik lain.

Selain itu, mata pelajaran yang kurang konsisten, terutama sekali bagi subjek sejarah, menyebabkan etnik lain merasa sumbangan dan peranan mereka dalam pembangunan negara dipinggirkan. Kajian-kajian lain turut menyatakan bahawa kurangnya perbincangan secara terbuka dan serius di kalangan pelajar pelbagai etnik mengenai soal politik, ekonomi, sosial negara dan agama; tambahan lagi minat dan kecenderungan pelajar kini tertumpu kepada menjadi pempengaruh di media sosial seperti YouTube, TikTok, dan lain-lain platform.

Melihat realiti semasa, didapati bahawa ketiadaan pelaksanaan dialog antara etnik atau secara umum disebut sebagai kurangnya interaksi secara serius dalam kalangan pelajar pelbagai etnik telah menyebabkan rendahnya hubungan sosial dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi sama ada swasta mahupun awam. Beberapa penyelidik seperti Ramlee Mustapha, Shamsul Amri, Khairulnizam dan Nor Azmi mencadangkan agar dialog di antara etnik dijalankan di peringkat universiti sebagai langkah menggalakkan perhubungan sosial yang baik dalam kalangan pelajar berlainan etnik. Walau bagaimanapun, konsep dialog antara etnik ini belum wujud secara berstruktur dan tidak disentuh secara jelas oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini.

Jika diteliti, konsep ini secara prinsipnya telah lama wujud di dalam dasar pendidikan tinggi dan juga falsafah pendidikan negara yang menekankan perpaduan antara kaum (atau etnik). Oleh itu, terdapat keperluan untuk membina konsep dialog antara etnik serta melihat hubung kait kedua-dua aspek iaitu konsep “dialog” dan konsep “etnik” dalam meningkatkan hubungan sosial pelajar pelbagai etnik di institusi pengajian tinggi. Konsep dialog antara etnik antaranya merangkumi (a) definisi dialog antara etnik, (b) tujuan atau objektif dialog, (c) prinsip dialog, dan (d) panduan atau peraturan dialog. Berdasarkan konsep dialog antara etnik yang telah dinyatakan, sebuah kajian perlu dijalankan di institusi pengajian tinggi untuk meneliti pelaksanaan dan keberkesanan dialog antara etnik di dalam meningkatkan hubungan sosial dalam kalangan pelajar berlainan etnik.

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa semua institusi pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta, mempunyai tanggungjawab dalam memastikan perpaduan mahupun kesepaduan antara etnik dapat dicapai. Ianya boleh terdiri daripada (1) penawaran subjek-subjek yang berkaitan dengan perhubungan sosial ataupun perpaduan yang lebih bersifat praktikal bukan teori, (2) mewujudkan polisi institusi ke arah membangun perpaduan, (3) meningkatkan kesedaran pentadbiran dalaman universiti dalam hal membangun aspek perpaduan dalam kalangan pentadbir, (4) meningkatan kesedaran tenaga pengajar memupuk aspek perpaduan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas serta (5) melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan hubungan sosial yang aktif seperti aktiviti pelajar yang merentasi garis etnik.

Selain itu, satu platform penting perlu diwujudkan untuk memastikan hubungan sosial melibatkan pelbagai etnik akan berlangsung dengan aktif, berterusan serta mampu menyediakan penyelesaian bagi setiap konflik etnik jika berlaku. Ini adalah kerana, melalui kajian-kajian lepas berkenaan dengan hubungan sosial pelajar institusi pengajian tinggi awam, didapati bahawa ianya adalah pada tahap sederhana dan polarisasi masih berlaku. Aspek-aspek harian termasuk kecenderungan memilih kawan dari etnik yang sama, enggan sebilik dengan pelajar berlainan etnik, tahap keselesaan terhadap etnik lain, stereotaip yang kuat, etnosentrisme yang menghalang perhubungan, kesedaran sosial dan banyak lagi dikenalpasti berpotensi menghalang hubungan sosial yang baik.

Didapati belum ada kajian berkenaan konsep dialog etnik apatah lagi untuk menjadikannya sebagai platfom yang dapat meningkatkan hubungan sosial pelajar. Antara dialog yang dikenalpasti telah wujud di Malaysia ialah dialog antara agama, dialog antara tamadun dan dialog seharian. Dialog etnik perlu dimulakan pada peringkat pendidikan tinggi, dengan menganggap mahasiswa telah mempunyai cukup pengetahuan dalam aspek asas hubungan etnik dan ketamadunan, dan juga atas kesedaran bahawa mereka bakal menjadi pemimpin negara sekaligus menjadi agen perubahan terhadap hubungan sosial masyarakat Malaysia yang pelbagai latarbelakang etnik dan agam secara umumnya.

Maka perlunya satu kajian menyeluruh diadakan agar konsep dialog antara etnik dalam konteks Malaysia dapat dibangunkan. Melalui kajian tersebut juga, satu platform hubungan sosial yang lebih berkesan yang memfokuskan pelajar-pelajar sebagai ejen perubahan dan juga bakal pemimpin negara khususnya berkaitan dengan perhubungan etnik dapat dibangunkan. Sebagai contoh, salah satu matlamat pengenalan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia di peringkat institusi pengajian tinggi ialah untuk menyemai dan memupuk persefahaman tulen dan sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat yang pelbagai latar belakang di negara ini, khususnya generasi muda yang bakal memimpin negara.

Untuk mengetahui hubungan sosial pelajar, maka dimensi hubungan sosial yang meliputi akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi mesti diukur serta dianalisis bagi melihat apakah faktor-faktor yang mempengaruhi hubungan tersebut. Ini kerana, berdasarkan kajian-kajian lepas, hubungan pelajar di institusi pengajian tinggi awam masih berada pada tahap sederhana tetapi kurangnya kajian dilakukan bagi menganalisis faktor penyebab atau yang mempengaruhi hubungan tersebut.

 

Penulis merupakan Ketua Unit Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan penyelidik pascasiswazah Antropologi dan Sosiologi di Fakulti Sastera, Universiti Malaya.