KUALA LUMPUR – Seramai 14 individu yang terlibat dalam perhimpunan #Kepung Demi Palestin selesai diambil keterangan kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Perhimpunan selama enam hari di Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini, mulai 26 Disember sehingga 31 Disember 2023 turut membabitkan pemimpin politik daripada kerajaan dipanggil untuk membantu siasatan.

Antara pemimpin politik kerajaan yang dipanggil ialah Ketua Pemuda Amanah Nasional, Senator Hasbie Muda; Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid; Pemuda Amanah Nasional, Sheikh Khuzaifah Bawazeer dan Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan.

Turut dipanggil Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi; Setiausaha Agung PSM, Sivarajan Armugam dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat), Syed Sheikh Mustafa.

Hadir sama Jurucakap SSP yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy; Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat), Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan; Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan; aktivis sosial Hishamuddin Rais dan Timbalan Presiden Angkatan Mahasiswa, Amirul Haikal.

Manakala tiga pemimpin politik tidak hadir ialah Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaalif Abdul Adam; AMK Wilayah Persekutuan yang juga Ketua AMK Cabang Batu, Lestari Yahya dan Naib Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Nazirullah Nordin.

Terdahulu kesemua 14 individu yang ditemani peguam masing-masing tiba di IPD Wangsa Maju kira-kira jam 10.30 pagi tadi. – MalaysiaGazette