Roger Ng. foto Bloomberg

NEW YORK –  Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc., Roger Ng berkata, dia tidak dapat memenuhi tuntutan pendakwa AS untuk membayar AS$35 juta kerana Kerajaan Malaysia sudah mengambil semua wangnya.

Ng telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun minggu lalu kerana peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Pendakwa raya persekutuan telah meminta Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn, New York, memerintahkan  ⁠⁠⁠pelucuthakan wang Ng yang diperoleh secara haram daripada konspirasi untuk merompak dana kekayaan negara Malaysia pada hukuman 9 Mac lalu.

Peguam Ng, Marc Agnifilo berhujah, tiada penalti lain diperlukan dan anak guamnya tidak mempunyai dana dalam apa jua keadaan.

Brodie tidak membuat keputusan mengenai isu pelucuthakan pada minggu lepas.

Dalam perintah lewat hari Rabu, hakim mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah sama ada jumlah yang diminta oleh pendakwa melanggar Pindaan Kelapan atau tidak, yang melarang denda yang berlebihan bersama dengan hukuman yang berlebihan dan luar biasa.

Ng, 51, mendakwa Kerajaan Malaysia telah merampas lebih AS$35 juta daripada 11 akaun yang dipegang oleh keluarganya, lapor Bloomberg.

Dalam pemfailan mahkamah pada hari Isnin, Agnifilo menegaskan rampasan itu bertujuan sebagai hukuman dan bukannya untuk pemulangan dana.

“Polis Malaysia sangat jelas mahukan semua wang dalam akaun yang berbeza; bukan hanya pemulangan dana yang telah dikesan secara rasmi kepada 1MDB,” tulis Agnifilo.

Walaupun Agnifilo berkata terdapat alasan lain untuk menafikan permintaan pelucuthakan AS, dia juga berkata, ia melanggar Pindaan Kelapan.

Brodie berkata pada hari Rabu bahawa dia percaya pelucuthakan “diperlukan mengikut undang-undang” untuk jenayah yang telah disabitkan oleh Ng tetapi mahu kedua-dua pihak menangani hujah Ng bahawa permintaan AS$35 juta adalah “sangat tidak seimbang.”

Ng didapati bersalah pada April kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah AS dan pengubahan wang haram.

Bekas peneraju Goldmannya dan konspirator bersama 1MDB, Tim Leissner, sebelum ini mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kerajaan terhadap Ng.

Leissner, yang dijadual dijatuhkan hukuman pada 6 September, diperintahkan awal bulan ini untuk pelucuthak wang tunai AS$43.7 juta serta 3.3 juta saham dalam syarikat minuman kecergasan Celsius Holdings Inc. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.