Meu Kentucky Fried Chicken (KFC) serta harga yang telah ditetapkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan syarikat makanan segera itu memberitahu mengenai harga makanan yang disenaraikan di kesemua rangkaian restoran itu akan dikenakan 6 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di salah satu restoran KFC di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Johor boleh mengarahkan KFC menurunkan semula harga makanan yang dijual di rangkaian restoran itu selepas ia dilaporkan menaikkan harga baru-baru ini.

Ini kerana, sejak Januari 2013, KFC Malaysia dimiliki Perbadanan Johor (Johor Corp) iaitu syarikat kerajaan negeri Johor yang kini dipimpin oleh Pakatan Harapan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Arahan itu boleh dilakukan kecualilah kos KFC memang meningkat selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Apakah langkah yang kerajaan Johor PH akan ambil sekarang? Adakah Harga KFC akan dikurangkan dengan menelan kos yang sudah naik?,” soal Najib.

Namun, kata beliau, jika KFC memang mengakui kos sudah meningkat dengan banyak, maka ini satu penghinaan kepada Lim Guan Eng dan Tony Pua memandangkan mereka berdua ini telah aminan bahawa SST akan meringankan beban rakyat dan harga barang akan turun.

“Ataupun PH akan meminta maaf kepada rakyat kerana telah menipu dan mengaku bahawa kos sara hidup sudah naik dengan tinggi selepas PRU14 dan GST bukan sebab utama harga barang naik?,” katanya.

Sebelum ini, bekas ahli Parlimen Pandan mendedahkan KFC menaikkan harga antara RM3 hingga RM4 bagi set-set tentu makanan segera itu.

Malah, Rafizi juga mendakwa caj penghantaran turut dinaikkan.

Namun, QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang menjadi pemilik KFC berkata, penyelarasan harga tidak mempunyai kaitan dengan SST kerana kadar enam peratus GST sebelum ini juga dikenakan pada pelanggan. – MalaysiaGazette