Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, Hee Loy Sian (tiga kiri) melihat lembu yang akan disumbangkan kepada 13 buah kampung orang asli pada Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya. Foto MOHD ADZLAN 28 JUN 2023

KUALA SELANGOR – Sebanyak 13 lembu akan diagihkan kepada perkampungan orang asli yang majoriti penduduknya beragama Islam di seluruh Selangor sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, tahun ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, sumbangan kerajaan negeri itu akan disalurkan kepada 13 perkampungan orang asli di enam daerah di Selangor bermula hari ini

“Serahan ini melibatkan 13 ekor lembu yang akan dihantar pada hari ini ke Kampung-kampung orang asli yang terletak di enam daerah seluruh Selangor.

“Antara perkampungan orang asli itu ialah Hulu Kuang sebanyak dua ekor, Batu 12 (1), Bukit Bandaraya-Air Kuning (1), Bukit Lanjan (1), Changkat Bintang (1), Tun Abdul Razak (1) dan Bukit Man Chong (1).

“Turut terlibat Kuala Pangsun (1), Bukit Bangkong, Sg Pelek (1), Sungai Buah (1), Kepau Laut (1) dan Taman Desa Kemandol (1),” katanya kepada pemberita, di Selangor Fruit Valley, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan 13 lembu korban itu kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor & Wilayah Persekutuan, Mohamad Anis Othman sebelum diagih kepada 13 kampung orang asli.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Katanya lagi, walaupun kerajaan negeri agak terlambat untuk membuat agihan itu, namun bantuan itu sedikit banyak dapat memeriahkan perayaan itu dalam kalangan orang asli.

“Kerajaan Negeri tidak pernah lupa untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat Orang Asli yang beragama Islam khususnya pada setiap musim perayaan.

“Saya pasti sumbangan pada hari ini menzahirkan rasa kasih sayang dan kecaknaan kita kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette