Keadaan kereta api yang tergelincir dari landasan.

JOHOR BAHRU – Sebuah kereta api kargo yang membawa muatan simen dipercayai terkeluar daripada landasan di Kilometer 29.25 di Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang pada 11.55 pagi ini.

Kerata api 31 gerabak yang dipandu dua kru Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) itu menghala ke Skudai dari Johor Port semasa kejadian berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, bagaimanapun, kereta api Jati 29140 itu tidak melibatkan sebarang kemalangan.

“Kerja-kerja mengalihkan kereta api itu sedang dijalankan pelbagai agensi terlibat antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), KTMB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya yang menuju je kawasan terlibat dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

Difahamkan, kerja-kerja pengalihan menggunakan kren mengambil masa dua jam dan ia selesai kira-kira pukul 2.10 petang. – MalaysiaGazette.