Xavier Jayakumar
Xavier Jayakumar. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, cadangan projek kereta nasional ketiga bukan keutamaan bagi Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, banyak perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan sekiranya mahu projek berkenaan dilaksanakan.

“Saya tidak rasa ia adalah keutamaan kepada negara, tapi biar mereka buat kajian dan kita tentukan nanti,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, kerajaan katanya, masih menunggu kajian yang sedang dilakukan terhadap kebolehlaksanaan projek yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Banyak perkara kena lihat sebelum buat keputusan.

“Setuju atau tidak kena tengok kajian. Adakah ia bagus untuk negara atau adakah ia akan beri lebih masalah kepada negara.

“Ini adalah projek kereta nasional ketiga, kalau kita buat kajian kita akan tengok dulu perlu atau tidak,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata, pelaksanaan projek kereta nasional ketiga itu akan merangsang kembali industri automotif negara.

Malah, katanya, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 sebagaimana dibayangkan Dr Mahathir.

Dr Mahathir mengesahkan aspirasi membina projek kereta nasional ketiga dalam lawatannya ke Jepun pada Jun lalu.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan meninjau pembinaan kereta nasional 3.0 selepas Proton kini dikuasai oleh Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) dari China. – MalaysiaGazette