Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, diberitahu kenapa bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tidak boleh dipersalahkan terhadap kerugian 1MDB.

Ia kerana kerugian yang dialami 1MDB akibat penyelewengan berlaku sebelum kedua-dua individu itu menyertai syarikat tersebut.

Peguam mewakili Mohd Irwan, Lavinia Kumaraedran berkata, anak guamnya dilantik menjadi Ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB selepas syarikat tersebut mengalami kerugian.

Peguam Arul Kanda pula memberitahu, anak guamnya tidak pernah terpalit dengan isu salah laku kewangan sebelum ini.

Arul Kanda dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif sekitar 2015 manakala isu membabitkan penyelewengan berlaku antara 2010 sehingga 2014.

Bagaimanapun, peguam mewakili 1MDB, Brendan Siva berpendapat, perkara tersebut akan dapat dijawab pada prosiding penuh kerana ketika itu mahkamah boleh ditunjukkan transaksi-transaksi syarikat.

Arul Kanda dan Mohd Irwan berhadapan saman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion.

Ia berkaitan pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund dan kedua-dua defendan itu didakwa melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion.

Wang itu telah dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman manakala Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian ditanggung 1MDB hasil penyelewengan dilakukan orang lain.

Mohd Irwan mendakwa, tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kemudian menetapkan 23 Ogos untuk membuat keputusan terhadap permohonan tersebut. – MalaysiaGazette