Tertuduh, Vijayan Palaniyappan dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Sepang bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen atas dakwaan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak yang merupakan kenalan rapatnya dalam kejadian 28 Oktober lalu di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Mahkamah menetapkan 2 Mac ini sebagai tarikh penyerahan tiga dokumen yang diperlukan dalam kes pembunuhan seorang jurutera tapak di Kota Warisan, Sepang pada 28 Oktober lalu.

Majistret Ayuni Nur Izzaty membenarkan permohonan Timbalan Pendakwaraya, Nasharina Nazlan yang menyatakan bahawa setakat ini hanya laporan DNA diperolehi.

“Kami masih belum mendapatkan dokumen penting yang lain iaitu laporan bedah siasat, laporan forensik dan laporan kimia.

“Maka kami memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk penyerahan dokumen dan sebutan semula kes ini,” katanya.

Pada 10 November lalu, ahli perniagaan, Vijayan Palaniyappan, 42, yang merupakan seorang artis dituduh membunuh dan membakar seorang jurutera tapak yang merupakan kenalan rapatnya dalam kejadian di Sepang pada 28 Oktober lalu.

Vijayan didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.38 pagi hingga 4.50 pagi 28 Oktober 2020 di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2,Airport Business Centre Kota Warisan, Sepang.

Vijayan yang merupakan seorang artis yang dikenali dengan nama Vijay Emergency adalah Presiden Persatuan Artis-Artis India Malaysia selain Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan.

Peguambela beliau, Datuk Sheelan Arjunan bersetuju dengan penetapan tarikh baharu sebutan semula kes yang dicadangkan itu.

Ditemui di luar mahkamah, Sheelan Arjunan berkata beliau juga membuat permohonan untuk tarikh sebutan itu berikutan hanya laporan DNA sahaja yang diperolehi setakat ini manakala laporan bedah siasat,forensik dan laporan kimia masih belum diterima.

“Saya turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes sudah tiga bulan berlaku dan laporan berkenaan perlu disegerakan,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang pakaian lokap berwarna unggu dan berseluar jingga dengan tangan bergari dibawa ke Kompleks Mahkamah Sepang dengan kenderaan polis pada jam 8.34 pagi.

Ahli keluarga tertuduh, ibu, bapa, isteri dan anaknya dilihat berada di luar mahkamah pada pagi ini.

Vijayan dilaporkan ditahan di Hospital Kuala Lumpur semasa mendapatkan rawatan untuk kecederaan melecur di kedua-dua tangan dan betis kaki kiri. – MalaysiaGazette

Vijay Emergency dituduh bunuh jurutera

Mayat rentung: Tiga suspek disambung reman 6 hari

Mangsa rentung Toyota Harrier parah dihiris