Dr. Ibrahim (depan, empat dari kanan) bersama barisan kepimpinan Perkasa dan sayap pertubuhan itu hadir ke Mahkamah Persekutuan, Jalan Duta untuk memberi sokongan kepada Dr. Zakir Naik.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan di sini sekali lagi menangguhkan perbicaraan kes seramai 19 individu memfailkan saman pemula terhadap penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid pada 11 Oktober ini.

Ini berikutan, Ketua Hindraf, Datuk P. Waytha Moorthy bersama 18 yang lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Jaffrey Kitingan dan peguam, Siti Kasim telah memfailkan permohonan untuk meminda saman pemula mereka.

Dalam fail saman pemula itu, kumpulan berkenaan menuduh Zakir sebagai pengganas yang boleh mengancam keselamatan negara sekiranya kerajaan memberi taraf kerakyatan kepada penceramah bebas itu.

Selain Ahmad Zahid, kumpulan itu turut menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia dalam saman pemula mereka.

Mereka menuntut mahkamah membatalkan status Zakir sebagai pemastautin tetap Malaysia dan mengeluarkan perintah agar mengusir penceramah dari India itu dengan segera dari negara ini.

Pada masa sama, mahkamah turut memberi kebenaran kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai pencelah dalam kes itu dan diwakili peguam Adnan Seman.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama barisan kepimpinan pertubuhan itu dan 100 ahli sayap Wira Perkasa dan Wiranita Perkasa hadir ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan itu. – MalaysiaGazette