Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bahri Mat Jahya kesal dengan tindakan sebilangan ahli politik yang mengaitkan pandemik Covid-19
dengan peralihan kuasa yang tidak memihak kepada mereka.

“Hentikanlah politik murahan dengan membuat tuduhan yang tidak berasas, sepatutnya para pemimpin boleh gunakan pengaruh mereka bagi menyeru masyarakat untuk sama-sama berganding bahu membasmi penyakit ini, lupakan sebentar perbezaan politik yang boleh menyebabkan pertelingkahan yang tiada kesudahan yang akhirnya boleh merosakan segala usaha-usaha pembasmian yang dirancang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Fathul Bahri juga menyarankan agar kerajaan bersifat konsisten dalam setiap arahan dan menjalankan penguatkuasaan dengan tegas terutamanya kepada mereka yang tidak mematuhi arahan.

“Kerajaan perlu luruskan komunikasi supaya rakyat tidak keliru dengan arahan yang
dikeluarkan di samping mempelbagaikan penyampaian maklumat dengan medium-medium yang menarik dan mudah difahami bagi menepis segala infomasi yang tidak tepat di media sosial.

“Selain itu, pihak kerajaan perlu tegas menegakkan undang-undang dan menghukum mereka yang engkar bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan berjaya dilaksanakan dalam tempoh dua minggu yang ditetapkan ini,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau berharap masyarakat menghargai pengorbanan yang diberikan oleh anggota-angota perkhidmatan kesihatan dan keselamatan dengan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat yang patuh pada arahan.

“Kita tidak mahu segala usaha mereka ini menjadi sia-sia akibat segelintir dari kita yang tidak bertanggung jawab yang hanya mementingkan diri sendiri, sesungguhnya pengorbanan besar mereka ini tidak mampu kita balas, semoga Allah beri kebaikan dengan sebaik-baik balasan,” jelasnya.

Fathul Bahri juga menyifatkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mencegah penularan wabak Covid 19 wajib ditaati oleh setiap rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ketaatan kepada pemerintah terutamanya dalam urusan yang maaruf amatlah dituntut agama bagi mencegah kemudaratan yang lebih besar berlaku di kalangan masyarakat.

“Kawalan pergerakan ini menepati tuntutan agama dan selaras dengan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud – Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya, dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar,” jelasnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Betul kata Dato.
    Arahan dan tindakan perlu seiring. Contoh peg.negaraChina walaupun nampak berkasar dgn penduduk yg degil tapi hasilnya mereka berjaya. Tak salah contohi jika boleh menyelamatkan nyawa dan negara

Comments are closed.