Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (dua kiri) menyampaikan bantuan keperluan kepada penduduk Ladang Coconut, di Hutan Melintang, Perak, semalam
KUALA LUMPUR – Belum pun gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dipalu, pelbagai pihak bukan sahaja jentera Barisan Nasional (BN) bahkan badan bukan kerajaan (NGO) kini giat menyantuni rakyat dan pengundi di seluruh negara.
Sudah pasti kerusi marginal dan kawasan yang dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menjadi tumpuan utama jentera BN untuk menambah majoriti undi serta merampas semula pada pilihan raya akan datang.
Sebanyak 35 kerusi marginal BN yang mana 11 daripadanya merupakan di bawah majoriti 1,000 undi akan diberi tumpuan ‘istimewa’, tidak terkecuali NGO mula turun padang memulakan ‘kempen’ seawal Januari lalu.
Antaranya NGO itu ialah Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) yang kini telah memulakan kempen pilihan raya di kerusi N54 Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang.
Menurut Presiden PMSP, Ramesh Rao, BN perlu merampas kembali kerusi Hutan Melintang susulan ia merupakan sebahagian dari kawasan Parlimen Bagan Datoh yang mana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku penyandangnya.
Ramesh berkata, kerja-kerja penerangan perlu dilakukan segera, lebih-lebih lagi mengadakan program penerangan untuk menjelaskan kepada rakyat tentang inisiatif kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (tengah) bergambar bersama rakyat pada majlis penyampaian bantuan keperluan kepada penduduk Ladang Coconut, di Hutan Melintang, Perak, semalam.

Malah usaha mendekati pengundi DUN Hutan Melintang tanpa henti hingga kini mula ‘digeruni’ penyandangnya, Kesavan Subramaniam susulan pelbagai aduan dan rungutan rakyat terhadap prestasi pemimpin PKR itu yang mengecewakan.

Menerusi satu program bersama rakyat semalam, Ramesh bukan sahaja mendengar keluhan orang ramai malah turut menyampaikan bantuan barangan keperluan serta memberi angpau kepada penduduk di Ladang Coconut, di Hutan Melintang.

“Program bantuan ini diadakan secara mendadak kerana atas aduan dan keperluan penduduk di sana kepada pihak saya.

“Bantuan sebanyak 60 beg barangan keperluan berisi beras, tin sardin, tin susu manis, gula, minyak masak, tepung gandum, bihun kering dan mee diagihkan segera ,” katanya.

Pada program berkenaan, Ramesh memberi jaminan kepada pihak penguruan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Coconut bahawa sekolah itu akan diberikan bantuan RM1,000 untuk membantu kebajikan murid-muridnya.

“Kita amat berpuas hati dengan kehadiran kira-kira 100 orang penduduk,” katanya.

Tambah beliau, keluhan dan rungutan pengundi kawasan itu merupakan ‘petanda’ awal PKR bakal ditolak pengundi pada PRU14 dan sudah pasti menjadi berita baik kepada pemimpin BN di kawasan itu.

“Kita akan sentiasa beri sokongan penuh kepada BN dan kepimpinan Najib di kawasan Hutan Melintang serta akan memastikan kemenangan BN pada PRU14 nanti tidak kira siapa calon dan apa keadaanya,” katanya.

ADUN Hutan Melintang, Kesavan Subramaniam yang cukup dikenali sebagai wakil rakyat paling banyak ‘ketuk’ rumah orang dan menambah keahlian PKR setiap hari, kini hanya jadi mimpi ngeri apabila masih gagal membantu pengundi di kawasannya.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (dua kiri) menyapa salah penduduk yang juga penerima yang bantuan keperluan di Ladang Coconut, Hutan Melintang, Perak, semalam.

“Apa guna kalau rajin pergi rumah ke rumah setiap hari, tapi rakyat masih tidak terbela dan melarat.

“Saya akan pastikan setiap keluhan rakyat dan mereka yang dipinggirkan Kesavan akan terbela bukan selepas PRU14 tetapi dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.