Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow diarahkan menjalani kuarantin kendiri selepas seorang pegawai pengiringnya disahkan positif Covid-19.

Ini sekali gus menyebabkan Ahli Parlimen Tanjong itu tidak dapat menghadiri persidangan khas Parlimen yang akan berlangsung esok.

Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengarahkannya untuk menjalani kuarantin di rumah mulai hari ini susulan seorang pegawai pengiringnya disahkan positif Covid-19. 

“Dalam saringan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dijalankan pada Jumaat lalu sebagaimana diwajibkan oleh pihak Parlimen bagi persidangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, keputusan saya adalah negatif.

“Namun, saya telah memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat berhubung arahan kuarantin yang dikeluarkan terhadap saya sebentar tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, beliau perlu menjalani satu lagi ujian saringan pada 28 Julai ini. – MalaysiaGazette