Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Industri perbankan Islam Malaysia tidak lesu, sebaliknya semakin cergas dan matang, serta diunjur terus meningkat.

Ini terbukti berdasarkan statistik yang menunjukkan kewangan Islam kini menyumbang 34.1 peratus daripada jumlah pembiayaan (2008: 14.9 peratus) manakala aset kewangan Islam sebanyak 31.4 peratus berbanding hanya 14 peratus pada 2008.

Pembangunan kewangan Islam pada masa depan akan dipacu industri .

“Perbankan Islam tidak merosot, sebaliknya semakin berkembang. Industri ini mendorong pertumbuhannya sendiri, menembusi pasaran baharu dan meningkatkan penguasaan pasaran,” kata Gabenor Bank Negara (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Mengulas komen sejak kebelakangan ini mengenai kurangnya pembangunan dan momentum padu dalam memacu kewangan Islam, beliau menegaskan bahawa industri itu bukan sahaja terus mencatatkan pertumbuhan yang sihat, malah menggabungkan kewangan sosial dalam penawarannya.

Ini adalah untuk memanfaatkan perbankan Islam yang kukuh untuk akses, tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik.

“Jadi, ada banyak merit untuk menggabungkan kedua-duanya. Dalam Islam, kita ada sedekah dan zakat. Perbankan Islam dapat menjadi pengantara kepada sumbangan ini bagi mempromosi pembangunan sosioekonomi di negara ini,” katanya.

Dengan memanfaatkan perbankan Islam dan pembiayaan sosioekonomi, beberapa penawaran produk produk seperti sedekah, wakaf dan zakat boleh digunakan untuk menaik taraf kehidupan golongan terpinggir atau ketinggalan, katanya.

Pada masa akan datang, inisiatif pembangunan kewangan Islam akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan kualiti dan nilai tambah untuk meningkatkan kehidupan rakyat.

RAM Rating services dalam edisi terbarunya ‘Islamic Banking Insight’ yang dikeluarkan baru-baru ini, menyebut sektor perbankan Islam dijangkakan berkembang antara 10 dan 11 peratus tahun ini, hampir sama dengan kadar pertumbuhan yang dicapai pada 2018.

Agensi penarafan tempatan itu berkata perbankan Islam terus berkembang pada kadar yang lebih cepat daripada pinjaman konvensional pada tahun lepas iaitu sebanyak 11 peratus berbanding pertumbuhan 3.3 peratus bagi pinjaman konvensional. Ia tumbuh 10.3 peratus pada 2017.

Bagi 2019, RAM mengekalkan prospek stabil bagi sektor perbankan Islam Malaysia selaras dengan unjuran positifnya terhadap sistem perbankan domestik secara menyeluruh.

— BERNAMA