Khairuddin dilihat menaiki kenderaan rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilihat menaiki sebuah kenderaan rasmi Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis di negeri itu baru-baru ini.

Memetik laporan PRU14.TV, difahamkan ia adalah pelawaan Ahmad Razif sendiri yang hadir dalam program majlis penyerahan projek pembangunan jambatan di atas sungai Terengganu ke Pulau Sekati.

Ketika kejadian Ahmad Razif didakwa dengan spontan mengajak Khairuddin menaiki kereta dan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dengan segera menerima pelawaan tersebut.

Ia sehari selepas Khairuddin dilihat menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan siri lawatan ke Terengganu.

Khairuddin dipeluk erat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hadimi dalam majlis berbuka puasa di Terengganu

Malah, Khairuddin dilihat dipeluk erat Zahid dalam satu Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk kampung Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus pada Ahad lalu.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pesuruhjaya Pas Terengganu yang baharu Datuk Husien Awang.

Dakwaan Pas semakin mesra UMNO jelas kelihatan apabila beberapa pemimpin Pas antaranya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dirakam beberapa kali sepentas dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini. -MalaysiaGazette.