Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng menempelak Menteri Komoditi, Pertanian dan Industri, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang enggan mengakui kesalahan beliau tidak mematuhi protokol keselamatan Covid-19 untuk dikuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki bulan lepas.

Mohd Khairuddin bukan sahaja enggan mengaku salah malah tindakan beliau yang mengelak dan menolak tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sifat angkuh dan tidak bertanggungjawab.

Malah, kata Setiausaha Agung DAP itu, Mohd Khairuddin memberi alasan dengan menyatakan beliau telah dibenarkan masuk ke istana pada 17 Ogos lalu menjadi bukti beliau telah diuji negatif untuk Covid-19.

”Khairuddin masih gagal memahami bahawa keputusan ujian negatif beliau bukanlah isu utama. Jika hasil ujian positif pastilah beliau sudah berada di hospital dan tidak akan ada masalah selanjutnya.

”Isunya ialah mengapa beliau dan keluarga tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari. Ini jelas suatu tindakan penguatkuasaan undang-undang pilih kasih di mana pada menteri bebas sedangkan rakyat biasa ditahan, digari dan didenda,” kata Guan Eng sambil memberi analogi contoh dua situasi antara Mohd Khairuddin dan Menteri Pertanian Ireland, Dara Calleary.

Menurut Guan Eng, Calleary, meletak jawatan semalam kerana mengingkari protokol keselamatan Covid-19 hanya dua hari selepas menghadiri majlis malam kelab golf Parlimen Ireland pada 19 Ogos yang mana para tetamu tidak memakai pelitup muka, bersalaman dan duduk 10 orang dalam satu meja.

”Sewajarnya Khairuddin berasa insaf dan mencontohi kepimpinan melalui tauladan yang ditunjukkan oleh Yang Di-Pertuan Agong yang turut mengenakan kuarantin kendiri setelah kakitangan istana Baginda diuji positif Covid-19.

”Jika Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang mempunyai imuniti undang-undang boleh mengikuti protokol keselamatan tersebut, mengapa tidak Khairuddin?

“Adakah Khairuddin berasa beliau mempunyai status istimewa?” soalnya.

Dalam pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh DAP baru-baru ini, Teresa Kok turut mendedahkan bahawa Khairuddin telah menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat sejurus pulang dari Turki pada 8 Julai.

”Berbeza dengan Ireland apabila menterinya meletak jawatan dua hari selepas melanggar protokol keselamatan Covid-19, keangkuhan dan keengganan Khairuddin untuk mengakui kesalahan beliau setelah 6 minggu jelas tidak boleh diterima dan bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Kini soalnya bukan lagi tentang hukuman terhadap Khairuddin atas salah lakunya semata-mata, malah adakah beliau layak menjadi menteri dalam kerajaan baginda Yang Di-Pertuan Agong,” soal Guan Eng. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. YB LIM GUAN ENG ada imuniti khaskah tidak diambil tindakan mengatakan wang refund gst RM.19.4B dirompak.sedangkan laporan PAC sebaliknya.

  2. Biasalah tuu..cari2 kudis di badan org,badan sendiri penuh pekung..LGE ni tggu masa aja pun nak sibuk.

  3. Terlalu sukar untuk menjadikan pemimpin sebagai icon yang boleh diikuti oleh kanak2 dan orang2 muda sekarang ini.

    Lihat saja gelagat Ahli2 Parlimen kita (jika mereka layak utk dipanggil pemimpin) – terjerit2, bercakap tanpa menunggu giliran, menggangu orang lain berucap, memaki hamun….eeee lebih teruk dari suasana di pasar. Sungguh memalukan.

    Begitu juga dengan Menteri dan Tim Menteri…..terdapat dikalangan mereka yg terang2 melanggar peraturan yg mereka sendiri cipta utk dipatuhi oleh rakyat. Ada yg melanggar penjarakan sosial di musim PKP (Tim Menteri Kesihatan plk tu), ada Menteri yg menghisap vape di Parlimen semasa persidangan dan yg hangat sekarang ini – tidak mematuhi aturan karantin sekembalinya dari luar negara.

    Walaupun mereka telah memohon maaf dan membayar denda…..tetapi di mana letaknya nilai moral mereka sebagai seorang pemimpin tertinggi? Puiii……

    Sungguh memalukan……

Comments are closed.