Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

BANGI – Hubungan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan kepimpinan Pas bukan perkara baharu.

Kini beliau giat membantu parti Islam itu membangunkan ekonomi Terengganu bermula dengan sektor perladangan.

Beliau yang ditemui MalaysiaGazette berkata, meskipun bukan lagi bergelar ahli parlimen namun Abdul Khalid mahu memberi khidmat nasihat dan berkongsi pengalamannya dalam sektor korporat untuk memajukan negeri Pantai Timur itu.

“Saya berterima kasih kerana saya diminta untuk itu (jadi penasihat ekonomi). Saya hanya menerima jawatan itu sebagai sukarelawan tidak berbayar gaji sebab sebab saya tak nak bekerja.

“Saya ada sedikit pengalaman dalam sektor korporat saya bersedia memberikan khidmat nasihat untuk menentukan pengurusan aset-aset Terengganu diurus dengan baik dan untuk kepentingan rakyat.

“Tumpuan utama bukan industri minyak, saya mempunyai sedikit pengalaman dari segi perladangan jadi oleh sebab itu dalam sektor itu saya akan tumpukan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Majlis Berbuka Puasa Kerajaan Negeri Terengganu bersama Perantau Anak Terengganu di Pusat Konvensyen Bangi, di sini malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya mengakui Kerajaan Pas Terengganu dikunjungi Abdul Khalid seminggu selepas membentuk kerajaan negeri.

Samsuri berkata, pihaknya menawarkan jawatan Penasihat Ekonomi kepada Abdul Khalid susulan keupayaan dan pengalamannya dalam bidang korporat serta berjaya membangunkan Kerajaan Negeri Selangor ketika pentadbirannya sejak 2008. – MalaysiaGazette