Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching iaitu Chang Keng Fei bercakap pada Forum Pendidikan bertajuk ‘Memikirkan semula kepelbagaian budaya dalam sistem pendidikan Malaysia’ anjuran Dong Zong diKL and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Buku teks bukan satu-satunya cara untuk memberi pendedahan tentang kepelbagaian budaya dan agama yang ada dalam negara.

Malah merujuk kepada seni khat sebagai contoh Pegawai Khas Timbalan Menteri Pendidikan, Chan Kheng Fai berkata, ianya boleh didapati bukan hanya di sekolah sebaliknya pada wang kertas juga pada jata negara.

Tambahnya, kesatuan rakyat dalam mendalami budaya yang berbeza-beza juga boleh diterapkan menerusi aspek lain seperti sukan serta peranan ibu bapa menerapkan cara anak-anak berfikir.

Juga bukan dengan menetapkan pendirian bahawa belajar budaya dan agama lain demi berjaya dalam peperiksaan, sebaliknya, kata Chan ia perlu lahir daripada keikhlasan setiap individu.

“Tentang seni, budaya, muzik sekalipun sukan pun ia hanya boleh dipelajari dengan tanpa kita fikir kita perlu dapat markah penuh dalam peperiksaan.

“Tentang tulisan khat, sebenarnya ia ada pada duit kertas kita, jata negara malah ada juga di belakang buku latihan. Dalam negara pelbagai kaum dan budaya perkara penting adalah bila kita belajar budaya lain, agama lain ia perlu ikhlas, dan barulah kita boleh pelajarinya.

“Nak belajar kepelbagaian budaya dan agama bukan hanya dalam buku teks, ia juga bergantung kepada cara guru mendidik dan cara ibu bapa. Mereka juga memainkan peranan dalam menerapkan kepada setiap individu bahawa kita adalah rakyat Malaysia.

“Kesatuan kita boleh dilihat bila adanya pertandingan bola sepak. Sokongan kepada pasukan kita. Biarkan pelajar bermain sukan bersama-sama, menjalani aktiviti bersama-sama. Belajar kepelbagaian budaya juga melalui kokurikulum.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel forum ‘Memikirkan semula kepelbagaian budaya dalam sistem pendidikan Malaysia’ anjuran Dong Zong malam ini.

Kheng Fai bagaimanapun menegaskan bahawa pandangan yang disuarakannya bukan mewakili Kementerian Pendidikan mahupun bossnya, Teo Nie Ching.

Malah beliau berkata, kehadirannya hari ini bukan bertujuan mengulas lanjut tentang tulisan jawi dan seni khat yang kini menjadi pertikaian kerana menyedari ianya akan mudah dipolitikkan.-MalaysiaGazette