Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah Nasional) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan dan pihak-pihak berkaitan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  sayap pelaburan negara itu telah tersasar daripada matlamat penubuhannya.

“Ini adalah untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas, kukuh dan pelaksanaan mandat kami sebagai sebuah dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia.

“Kami akan menyediakan perkembangan terkini yang sesuai tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Dr. Mahathir dalam sidang medianya hari ini meminta Khazanah supaya kembali kepada teras penubuhannya untuk membantu bumiputera.

Jelas beliau, Khazanah Nasional pada asalnya ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan untuk kaum bumiputera yang lazimnya akan membeli saham dan menjualnya serta-merta kepada orang lain.

“Jadi, untuk menghentikan mereka daripada berbuat demikian, kami wujudkan Khazanah Nasional. Namun sekarang Khazanah Nasional dilihat mengambil kesemua saham, sama ada ia diperuntukan untuk bumiputera atau tidak.”

“Oleh itu, mungkin mereka boleh kembali kepada tujuan asal,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya, yang disiarkan secara langsung.

Khazanah Nasional diperbadankan pada 1993 ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dan beliau dilantik sebagai pengerusi pertama.

Ia ditubuhkan untuk mengurus aset komersial milik kerajaan pusat selain merancang pelaburan strategik yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun begitu menurut Perdana Menteri, entiti tersebut sudah semakin jauh dari matlamat penubuhan asalnya dengan melakukan pelbagai perniagaan “pelik”.

“(Tapi), agak jelas (sekarang) mereka melakukan pelbagai perkara yang pelik, mereka membeli rumah, mereka mengambil alih syarikat (yang bukan tujuan penubuhan asal Khazanah),” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa dana itu telah menyimpang daripada tujuan terasnya, jelasnya.

Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat pada 2003.

Pada 2004, di bawah mandat baharu, Khazanah melaksanakan pendekatan pelaburan lebih meluas dan lebih aktif, termasuk meningkatkan prestasi pegangan teras sedia ada dan pada masa sama mengenal pasti peluang dalam sektor ekonomi dan geografi baharu. – MalaysiaGazette