Kes pembunuhan Kim Jong-Nam mendapat liputan meluas.

KUALA LUMPUR – Kim Jong-nam sedang membawa AS$120,000 (RM534,000) semasa dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara itu membawa 1,200 keping AS$100 yang berjumlah AS$120,000 dan dua suspek wanita warga Vietnam dan Indonesia tidak mengambil duit tersebut.

China Press melaporkan, selain wang tunai, Jong-nam yang identitinya telah disahkan polis Malaysia turut membawa barangan emas dan dokumen.

Mengikut undang-undang Malaysia, mereka yang membawa lebih daripada AS$10,000 ketika keluar atau masuk negara ini perlu mengisytiharkan duit tersebut.

Media melaporkan identiti Kim Jong-nam disahkan oleh polis melalui DNA yang diperoleh daripada anaknya.

Selain itu, tahi lalat pada muka, tatu pada perut selain seutas rantai emas berserta loket yang diukir dengan gambar Jong-nam, isteri dan anak turut mengesahkan identiti mangsa.

Keadaan itu juga menunjukkan dakwaan Pyongyang bahawa mangsa adalah Kim Chol adalah tidak berasas.

Pyongyang mendakwa pembunuhan Kim Chol adalah didalangi oleh dua musuhnya iaitu Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Pembunuhan Kim Jong-nam telah menyebabkan hubungan Malaysia dengan Korea Utara merosot mendadak apabila Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Penganalisis bagaimanapun berpendapat Malaysia akan menyerahkan jasad Kim Jong-nam kepada Pyongyang untuk memastikan keselamatan rakyat yang terkurung di Korea Utara.

“Memandangkan perundingan dijalankan secara rahsia, jadi dijangkakan tidak banyak masalah untuk kedua-dua negara bertukar ‘tebusan’,” kata Wei Cheng, pensyarah universiti dan kolumnis Sinchew Daily.

Wei Cheng juga berpendapat China telah membantu secara rahsia untuk membaiki hubungan Kuala Lumpur dengan Pyongyang yang telah retak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengesahkan bahawa perundingan antara Malaysia dengan Korea Utara mengenai kemelut diplomatik yang berlaku telah bermula pada Isnin.

“Kami akan berusaha menyelamatkan sembilan rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.