Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks utama Bursa Malaysia mencecah paras halangan 1,580 ketika ditutup petang Khamis ini dengan para pelabur mendapat kembali keyakinan berikutan pelancaran secara rasminya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada Rabu.

Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 23.99 mata atau 1.54 peratus kepada 1,581.54 daripada 1,557.55 ketika ditutup petang Rabu.

Indeks utama dibuka pagi ini 9.35 mata lebih kukuh kepada 1,566.90 dan bergerak antara 1,565.77 dan 1,587.11 sepanjang hari.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 857 berbalas 402 sementara 411 kaunter tidak berubah, 528 tidak diniagakan dan 71 yang lain digantung.

Jumlah dagangan lebih rendah kepada 10.44 bilion unit bernilai RM6.57 bilion berbanding 12.70 bilion unit bernilai RM7.01 bilion pada Rabu.

Pergerakan secara keseluruhan, semua sektor berada dalam zon hijau kecuali Indeks Penjagaan Kesihatan yang kekal sebagai satu-satunya sektor yang mengalami kerugian kerana para peniaga terus melepaskan pegangan saham mereka dalam syarikat sarung tangan getah dan farmaseutikal.

Mengulas mengenai prestasi hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong Teck Meng berkata program vaksinasi yang dimulakan secara rasmi pada Rabu telah mengembalikan keyakinan para pelabur.

“Pelabur sangat teruja dengan program vaksinasi dan mereka telah beralih ke arah pemulihan sekarang,” katanya kepada Bernama.

Menurut Wong, penyusutan bursa tempatan baru-baru ini melibatkan pengambilan untung yang sihat bagi peniaga mengumpulkan saham bernilai.

Beliau percaya pasaran saham tempatan akan diniagakan secara mendatar dalam tempoh satu hingga dua minggu ini dengan fokus terutamanya pada saham bertema pemulihan.

Daripada 30 kaunter FBM KLCI, lebih dua pertiga berada dalam zon positif.

Antaranya, Press Metal naik 71 sen kepada RM9.66, Maybank meningkat 20 sen kepada RM8.09, Public Bank menokok sembilan sen kepada RM4.17, Axiata 27 sen lebih tinggi kepada RM3.57 dan Tenaga menokok 22 sen kepada RM20. 12.

Saham paling untung termasuk MPI yang melonjak RM2.94 menjadi RM38.00, Carlsberg dan D&O Green Technologies, masing-masing mengukuh 66 sen kepada RM23.96 dan RM3.99.

Senarai saham paling rugi pula didahului oleh Rapid Synergy, susut 36 sen kepada RM7.40, diikuti oleh Hartalega yang turun 26 sen kepada RM10.14.

Pharmaniaga pula jatuh 24 sen kepada RM4.16 manakala Duopharma lega sembilan sen kepada RM3.10.

Kaunter paling cergas termasuk Permaju Industries yang naik 2.5 sen kepada 17.5 sen dan waran Dagang Nexchange menambah tiga sen kepada 35 sen.

Metronic Global susut dua sen kepada 8.5 sen sementara XOX dan Key Alliance masing-masing turun setengah sen kepada sembilan sen dan lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 192.72 mata kepada 11,675.85, Indeks FBMT 100 naik 178.52 mata kepada 11,352.78 dan Indeks FBM Emas SYariah 209.56 mata lebih tinggi kepada 13,081.65.

FBM 70 menokok 269.90 mata kepada 15,621.36 dan FBM ACE meningkat 142.11 mata kepada 10,963.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 272.05 mata kepada 14,985.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 6.08 mata kepada 187.57 dan Indeks Perladangan meningkat 52.33 mata kepada 7,213.03.

Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 23.82 kepada 3,224.09.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 7.14 bilion saham bernilai RM5.72 bilion daripada 8.16 bilion saham bernilai RM5.92 bilion pada hari Rabu.

Perolehan waran rendah pada 481.14 juta unit bernilai RM91.22 juta berbanding 504.27 juta unit bernilai RM90.75 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 2.81 bilion saham bernilai RM760.90 juta berbanding 4.03 bilion saham bernilai RM996.19 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.57 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (2.49 bilion), pembinaan (188.63 juta), teknologi (1.28 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (176.50 juta), hartanah (171.74 juta), perladangan (41.42 juta), REIT (8.86 juta), dana tertutup (26,900), tenaga (820.50 juta), penjagaan kesihatan (158.93 juta), telekomunikasi dan media (99.93 juta), pengangkutan dan logistik (92.41 juta) dan utiliti (31.06 juta).- BERNAMA