Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpakaian PPE melakukan saringan terhadap penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Pasar Jalan Othman, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Daerah Kluang, Johor mengalami pengurangan kes positif Covid-19 sebanyak dua kes menjadikan jumlah terkini di daerah itu 39 kes.

Daerah itu sebelum ini mencatatkan 41 kes positif Covid-19 dan kini dikategorikan sebagai zon kuning.

Bagaimanapun zon merah aktif kebolehjangkitan Covid-19 tidak berubah apabila Seremban kembali memasuki zon itu pada Isnin.

Menurut data dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, daerah Seremban didapati menerima pertambahan tujuh kes positif Covid-19 dengan jumlah terkini di daerah itu 42 kes.

Lapan lagi zon merah merangkumi empat zon di Kuala Lumpur iaitu mukim Ibu Kota 153 kes, Batu 102 kes, Kampung Baru 96 kes, Sri Petaling 45 kes.

Selangor masih mencatatkan dua zon merah iaitu di Petaling dengan 58 kes dan Gombak dengan 55 kes.

Daerah Rembau, Negeri Sembilan pula mencatatkan 130 kes, dan Kuching, Sarawak 79 kes.

Dalam pada itu, zon kuning juga didapati berkurangan dan memasuki zon hijau semalam.

Antaranya, Bera Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu dan Putatan, Sabah.

Ketiga-tiga daerah itu mencatatkan sifar kes positif Covid-19, pada Isnin.

Dalam pada itu, Melaka masih belum mencatatkan sejarah zon hijau apabila ketiga-tiga daerah di negeri itu masih dikategorikan sebagai zon kuning.

Daerah Jasin masih mencatatkan tujuh kes positif Covid-19, Alor Gajah enam kes dan Melaka Tengah lima kes.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 1,504 kes sedang dirawat di hospital berbanding 6,726 kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 107 kematian akibat Covid-19. -MalaysiaGazette