Kohilan Pillay (kiri)

KUALA LUMPUR – Penyampaian watikah Barisan Nasional (BN) kepada calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diumumkan pada malam ini.

Namun calon di beberapa kawasan lagi masih lagi misteri.

Antaranya kerusi Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan yang masih lagi menjadi teka-teki ekoran ‘persaingan’ antara calon UMNO dan MIC.

Sumber tertinggi sebuah parti BN mendedahkan, ada kemungkinan besar kerusi itu akan diserahkan kepada MIC memandangkan adanya pertukaran kerusi tradisi parti itu di Parlimen Sungai Buloh untuk UMNO.

“Saya dapat tahu kerusi itu akan diserahkan kepada MIC, dan jika itu berlaku nama calon yang naik ialah Datuk Kohilan Pillay yang merupakan Naib Presiden MIC.

”Beliau juga bukan asing bertanding dalam PRU kerana pernah bertanding pada pilihan raya ketika berada dalam parti Gerakan, malah pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri.

“Ada dua lagi nama calon MIC yang di ketengahkan iaitu Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan, Datuk Rajah Symon dan Setiausaha Eksekutif, Datuk  A K Ramalingam. Tapi rasanya, Kohilan yang akan dapat jika MIC tanding Parlimen Batu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Arabath Ali Arul Alavundeen

 

Dalam pada itu, MalaysiaGazette juga difahamkan satu lagi nama tercalon dalam kalangan UMNO Batu iaitu Arabath Ali yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur (NGO) yang turut menaungi lebih 30 NGO di bawah pertubuhan itu.

Arabath yang juga ahli UMNO telah diminta turun sejak lebih setahun itu sudah memulakan pelbagai gerak kerja serta kebajikan di Parlimen Batu untuk sekian lama ini.

Ahad lepas, sebahagian Umno Bahagian Batu telah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meminta kerusi Parlimen itu diserahkan kepada parti itu pada PRU ini.

Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Yahaya Mat Ghani meminta pucuk pimpinan untuk mempertimbangkan kerusi itu kepada UMNO dan bukannya kepada parti komponen seperti sebelum ini.

Pada PRU lalu, kerusi Parlimen Batu dimenangi calon bebas yang disokong PKR, P Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi

Beliau menang dalam saingan empat penjuru menewaskan Dr Dominic Lau Hoe Chai dari Barisan Nasional (BN), calon Pas, Azhar Yahya dan seorang lagi calon Bebas, Datuk VM Panjamothy.

Prabakaran kemudian menyertai PKR dan bertanding atas tiket PH pada PRU-15 ini.-MalaysiaGazette