Kerusi roda elektrik bersama kokain yang ditemui oleh kastam Hong Kong. Foto Media sosial

HONG KONG – Kokain seberat 11 kilogram ditemui di dalam kusyen sebuah kerusi roda elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong Sabtu lalu.

Penemuan itu dianggarkan bernilai AS$1.5 juta ditemui ketika seorang lelaki berusia 51 tahun sedang melalui pelepasan kastam.

Lelaki yang tiba dari negara Caribbean Sint Maarten melalui Paris telah ditahan.

Dia boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah mengedar dadah berbahaya.

Menurut pegawai kastam, suspek membawa kerusi roda itu ke negara ini sebagai salah satu daripada dua bagasi berdaftar.

Pemeriksaan lanjut diarahkan apabila kakitangan berasa curiga dan mereka menemui bukti bahawa kusyen tempat duduk dan penyandarnya telah dijahit semula.

Lelaki itu, yang bukan dari Hong Kong dan mempunyai masalah mobiliti, dilaporkan memberitahu pegawai kastam bahawa dia adalah pengarah sebuah syarikat penyewaan kereta dan kerusi roda itu telah dipinjamkan kepadanya oleh seorang rakan.

Siasatan ke atas kejadian itu telah dilancarkan.

Kastam Hong Kong berkata, susulan penemuan itu, mereka akan meningkatkan pemeriksaan ke atas pelawat dari “kawasan berisiko tinggi” untuk memerangi aktiviti pengedaran dadah transnasional.

Menurut statistik terkini mereka, jumlah kes yang dikesan dalam pemeriksaan kastam membabitkan dadah berbahaya pada 2022 ialah 931, meningkat daripada 906 tahun sebelumnya.

Kira-kira 178 orang telah ditangkap atas kesalahan berkaitan tahun lepas.

Ini bukan kali pertama dadah ditemui disembunyikan di kerusi roda di lapangan terbang kerana pada bulan November, pegawai kastam di New York merampas kokain bernilai AS$450,000 yang ditemui di dalam roda kerusi roda seorang wanita. – Agensi