Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama Timbalan Presiden PCM, Mejar Datuk Huan Cheng Guan (kiri) dan Bekas Aktivis DAP, Mohd Razali Abd Rahman (kanan) pada Diskusi UMNO-Online bertajuk Membongkat Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Semua ketua kaum dalam Barisan Nasional (BN) perlu mainkan peranan membantu kerajaan menangkis pelbagai isu yang ditimbulkan pembangkang termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kleptokrasi.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka tidak boleh meletakkan atas bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjawabnya.

Katanya, BN tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang dijangka diadakan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang.

“Dalam isu 1MDB dan kleptokrasi, sepatutnya kita semua yang tampil menjawab, bukan serah kepada Perdana Menteri semata-mata dan kenapa kita perlu takut untuk menangkisnya kerana pembangkang terutama DAP bukan ‘tunggul berhantu’.

“Sudah tentu PRU-14 ini semakin mencabar kerana pembangkang akan menggunakan apa saja medium yang ada untuk memfitnah kerajaan demi mendapatkan sokongan rakyat.

“Kita sebagai pihak yang sama-sama mendokong BN harus berani berdepan dengan isu ini,” katanya pada Diskusi UMNO-Online: Anda Tanya Kami Jawab – Membongkar Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Turut dijemput sebagai ahlipanel diskusi itu ialah Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dan bekas aktivis DAP, Mohd. Razali Abd. Rahman.

Menurut Annuar, kebelakangan ini DAP cuba memainkan politik angkuh dan ganas terutama Ahli Parlimennya yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

“Cara politik angkuh dan ganah ini yang menyaksikan DAP berjaya memecah belahkan Pas sehingga ramai pemimpin parti itu keluar menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

“Saya pelik macam mana rakyat boleh memilih dan memberi kemenangan kepada pemimpin angkuh ini pada PRU sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, Annuar mengingatkan kepada rakan parti komponen dan rakyat bahawa tidak ada tempat untuk politik cauvinis seperti DAP dan parti itu harus dikalahkan pada PRU-14 ini. – MalaysiaGazette