Antara peralatan elektronik dan gajet yang dirampas daripada sindiket tipu judi online di dua unit kondo mewah diserbu di Salak Selatan semalam. - Gambar ihsan IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penipuan yang menjadikan kondominium mewah sebagai markas operasi pusat panggilan promosi judi online terbongkar.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pembongkaran itu selepas pihaknya berjaya menyerbu dua unit kondominium di Salak Selatan di sini petang semalam.

Katanya, serbuan itu dilaksanakan selepas kedua-dua unit kediaman mewah itu disyaki menjadi tempat operasi sebagai pusat panggilan (call centre) bagi sindiket berkenaan.

“Hasil serbuan, seramai tujuh lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 14 hingga 40 tahun telah ditangkap selepas dipercayai terlibat dalam kes penipuan judi dalam talian.

“Salah seorang ahli sindiket berusia 14 tahun itu sebenarnya tidak bersekolah dan merupakan pekerja di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut di kedua-dua unit itu turut berjaya membawa pasukan kepada rampasan 14 unit monitor, tujuh unit Pemprosesan Pusat (CPU), 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga unit modem.

Tambah Zam Halim, siasatan awal polis juga mendapati premis tersebut digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian agar tidak dihidu dan diganggu pihak berkuasa.

Antara peralatan elektronik dan gajet yang dirampas daripada sindiket tipu judi online di dua unit kondo mewah diserbu di Salak Selatan semalam.Ihsan IPD Cheras

Sindiket itu menyasarkan mangsa warga Malaysia dan juga warga asing untuk penipuan judi dalam talian yang dipromosikan itu manakala siasatan lanjut juga mendedahkan transaksi kemasukan kredit bagi sindiket perjudian ini dianggarkan sekitar RM13 juta sebulan.

“Sindiket ini didapati beroperasi sejak bulan April 2023 secara aktif,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 120(B) / 420 Kanun Keseksaan dan disiasat bersama Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kesemua tangkapan berkenaan kini ditahan reman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette