Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali Ke -65 di Akademik Pusat Latihan Pertahanan Awam Malaysia, Persiaran Institusi Bangi, Selangor.

BANGI – Tiada masalah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Demikian jelas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham mengenai siasatan terhadap ahli-ahli yang melanggar disiplin parti semasa berlangsungnya Kongres Nasional PKR di Melaka pada awal bulan ini.

Menurutnya, beliau bersedia untuk bertemu dengan Pengerusi Lembaga Displin, Datuk Ahmad Kasim bagi melicinkan siasatan kes itu.

“Boleh (hadir beri keterangan). Tidak ada masalah. Mereka ada hak untuk panggil sesiapa sahaja untuk bagi keterangan,” katanya kepada media hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu berkata demikian selepas menggantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyempurnakan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kali ke 65 di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden GPMS, Alif Anas Md Noor.

Dalam pada itu, Hilman berkata, setakat hari ini, tiada kepimpinan AMK yang dipanggil untuk memberikan ketegangan berhubung siasatan Lembaga Displin mengenai insiden itu.

“Setakat ini belum ada apa-apa panggilan (untuk beri keterangan). Saya yakin dan percaya Lembaga Disiplin sedang menunggu siasatan yang dibuat oleh pihak polis sebab saya kira kejadian yang berlaku itu telah menyebabkan kes itu diambil perhatikan oleh pihak polis,” katanya lagi.

Minggu lalu, Ahmad Kasim berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan mengenai beberapa insiden pergaduhan di Kongres AMK, di Melaka, dua minggu lalu.

Katanya, tindakan paling tegas akan diambil parti terhadap mana-mana anggota yang melanggar garis sempadan disiplin parti terutama kepada mereka yang melakukan ancaman fizikal.

Polis Melaka sebelum ini berkata, pihaknya telah menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan pada Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 6 Disember lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Melaka, Mat Kasim Karim, di mana individu terbabit ditahan secara berperingkat bermula 6 Disember. – MalaysiaGazette