Ahmad Maslan

LABUAN – Kontraktor tempatan yang memiliki keupayaan kewangan dan operasi yang baik akan diberi keutamaan untuk kontrak-kontrak kerajaan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, ia penting kerana kontraktor tempatan lebih mahir dan memahami selok belok mengenai pembekalan bahan pembinaan serta harga.

Beliau memberi contoh projek-projek di pulau Labuan membabitkan bahan pembinaan yang perlu dibawa dari tanah besar Sabah.

“Apabila bahan penting tidak tersedia di pulau itu, kontraktor terpaksa mendapatkannya dari pelbagai tempat di Sabah, sekali gus meningkatkan kos. Akibatnya, perbelanjaan projek di Labuan dilaporkan 30 peratus lebih tinggi berbanding negeri lain.

“Dengan memberikan keutamaan kepada kontraktor tempatan yang mempunyai keupayaan dari segi operasi dan kewangan yang stabil di samping rekod prestasi baik, kita bukan sahaja menyokong kelestarian mereka, malah turut menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Ruang Sedia Ada kepada Farmasi Steril di Hospital Labuan hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan Mohd Faizul Ali Hanapiah yang senada dengan saranan itu, turut mengetengahkan beberapa cabaran yang dihadapi semasa pelaksanaan projek-projek kerajaan di Labuan.

“Jumlah projek-projek di Labuan agak kecil disebabkan cabaran-cabaran ini, dan tempoh penyiapannya sering terlewat daripada jadual,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa projek telah diberi pertimbangan untuk lanjutan tempoh penyediaan disebabkan oleh pelbagai halangan dalam mendapatkan bahan-bahan binaan seperti peralatan konkrit dan simen. – BERNAMA

 

1 Komen

  1. untuk merealisasikan kontraktor pihak jkr juga perlu melantuk consultancy Yang berwbawa untuk perlaksanaan project tersebut

Comments are closed.