Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berucap pada Majlis Perhimpunan Dwibulanan Agensi Hal Ehwal Agama dan Penyampaian Amanat Menteri di Auditorium Jakim, Kompleks Islam Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Waris yang hendak membuat badal haji sama ada untuk ibu dan bapa yang meninggal dunia, uzur atau terlalu tua, disarankan supaya mendapatkan nasihat daripada Tabung Haji (TH).

Ini kerana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, upah terlalu murah ditawarkan oleh kebanyakan syarikat atau agensi sangat tidak logik.

“Apabila khidmat ditawarkan itu agak murah, itu perkara yang meragukan, kita bimbang itu bukan badal haji. Macam tidak logik harga murah.

“Hendak buat badal haji juga kena bayar kos, sebab itu Persatuan Penuntut-Penuntut di Madinah mengeluarkan syarat sekurang-kurangnya RM12,000 kos untuk membuat badal haji, macam kita pergi haji sebenarnya.

“Bila harga ditawarkan itu agak rendah, ia tidak logik dan sebab itu saya nasihatkan, pergi ke Tabung Haji, bincang dulu macam mana kos nak buat badal haji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Dwibulanan Agensi Hal Ehwal Agama dan Penyampaian Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Auditorium JAKIM di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Jusoff dan Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Noor Hadina Ahmad Zabidi.

Rabu lalu media melaporkan, penawaran khidmat badal haji dengan bayaran serendah RM1,500 yang diiklankan di media sosial khususnya Facebook menimbulkan keraguan banyak pihak mengenai sejauh mana tahap sah Rukun Islam kelima itu.

Bayaran serendah RM1,500 yang dikenakan agensi umrah dan haji itu didakwa tidak mencukupi bagi menampung kos pelaksanaan ibadat haji yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM12,000 mengikut kadar semasa yang ditentukan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Mengikut Islam, badal haji atau upah haji diharuskan oleh syarak, iaitu seseorang Islam yang terhalang kerana penyakit, usia tua dan kematian atau waris mereka memberi upah kepada orang lain untuk melaksanakan ibadat berkenaan.

Menurut Idris, orang ramai yang merasa ragu dengan tawaran terlalu rendah boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

“Kalau ada perkara yang meragukan, kena buat laporan ke KPDNHEP seperti merasakan ia satu penyalahgunaan dan menganiaya kepada pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette