Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak yang berkepentingan untuk membincangkan isu pembiayaan perumahan untuk pembeli yang tidak pernah memilik rumah. 

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, perbincangan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian untuk memudahkan pembeli rumah pertama kali.

“Tentang pinjaman yang susah untuk didapati bagi pembiayaan rumah, saya akan bermesyuarat tentang ini dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara  untuk lihat mekaniseme yang membantu bagi memudahkan pembiayaan rumah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di bangunan KPKT hari ini.

Ujarnya, mesyuarat itu dijangkakan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan ini.

“Lepas bermesyuarat hari ini semuanya mungkin dijangkakan selepas Hari Raya sekarang Kementerian Kewangan pun sibuk dengan hal lain,” tambahnya. 

Dalam masa yang sama Zuraida menegaskan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak boleh disewakan kepada warga asing kerana ia menjadi penyumbang kepada masalah sosial. 

“Kedua isu penyewaan PPR kepada warga asing yang mana sudah termaktub dalam syarat-syarat pemilik tidak boleh sewakan kepada warga asing cuma pelaksanaannya lemah,” ujarnya sambil menambah kenyataannya sebelum ini bahawa warga asing dibenarkan menyewa PPR telah disalahtafsir. 

Baru-baru ini wujud laporan memetik Zuraida berkata bahawa warga asing dibenarkan untuk menyewa dan tinggal di PPR.-MalaysiaGazette