Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Guru tak wajar berkongsi pandangan politiknya dengan murid-murid di dalam kelas, sama ada secara langsung atau tak langsung.

Misalnya guru meminta melukis atau membuat perhitungan matematik yang merujuk lambang parti-parti tertentu.

Tindakan ini bukan sahaja melanggar etika guru tetapi mengundang kemarahan ibu bapa yang berpandangan politik berbeza, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Namun kalau guru menyertai parti politik setempat dan tahu memisahkan dengan dunia profesionnya, banyak yang boleh dibahaskan.

Jelasnya, politik tak sempurna, ia bergantung kepada siapa yang mengisinya.

”Di peringkat daerah dan kampung, guru banyak memberi sumbangan menjadikan perjalanan parti politik lebih teratur dan tersusun.

”Guru boleh menulis dan bercakap dengan baik. Banyak membantu dalam membuat laporan, minit dan menyampai pandangannya mengenai keperluan masyarakat setempat secara berkesan.

”Politik bukan hanya ketika pilihan raya. Banyak aktiviti kemasyarakatan, kerja sukarela, bantu bencana, sukan komuniti, membersihkan tempat awam anjuran parti politik lebih tersusun melalui peranan guru-guru.

”Banyak guru yang bukan dari kampung itu boleh mendekatkan diri mereka dengan masyarakat setempat melalui aktiviti anjuran cawangan parti berkenaan,” katanya dalam perkongsiannya menerusi Facebook.

Ahmad Shabery berkata, guru yang ada akses dengan orang politik, dapat banyak membantu sekolah berkenaan menyelesaikan masalah yang lambat diselesaikan kalau hanya mengharapkan saluran jabatan.

Katanya, nikmat kemerdekaan hari ini tak boleh dipisahkan dengan sejarah perjuangan nasionalisme Melayu dulu yang banyak digerakkan oleh guru.

Cerita sumbangan Zaaba dan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris mengimbangi peranan mereka yang pulang dari England atau lepasan Kolej Melaku Kuala Kangsar.

Bahkan sumbangan guru dalam parti seperti UMNO berbeza dengan sumbangan kontraktor di era parti-parti politik dikaitkan dengan punca mencari kekayaan.

Katanya, melenyapkan peranan guru dalam mana-mana parti politik akhirnya akan memberi ruang kepada golongan lain mengisi kelompangan itu.

“Mungkin menteri pendidikan dari parti yang tidak diminati oleh guru. Ini tidak bermakna menteri boleh mengenepikan peranan parti politik sebagai sekolah besar pendidikan sosial dan melahirkan pemimpin masa depan negara.

“Bahkan di era undi 18, Kementerian Pendidikan ada tanggungjawab menyediakan pendidikan politik yang sihat.

”Kalau ada masalah guru berpolitik dalam sekolah? Ia hanya perlu diuruskan melalui tatacara dan etika yang terperinci. Macam SOP (prosedur operasi standard) menguruskan wabak,” ujarnya. – MalaysiaGazette