Acara tahunan itu disambut meriah oleh para pelajar yang turut dihadiri oleh keluarga dan ibu bapa sebagai tanda sokongan kepada anak-anak dan pihak Sekolah Taarana.

KUALA LUMPUR – Sempena cuti persekolahan yang telah bermula, Sekolah Pendidikan Khas Taarana School (Sekolah Taarana) mengambil kesempatan menganjurkan sambutan Hari Keluarga dan juga meraikan kedatangan Krismas yang bakal disambut tidak lama lagi.

Acara tahunan itu disambut meriah oleh para pelajar yang turut dihadiri oleh keluarga dan ibu bapa sebagai tanda sokongan kepada anak-anak dan pihak sekolah.

Pengetua Taarana , Dr. Sunita Sivakumaran berkata, program tersebut bertujuan untuk menggalakkan ibu bapa mengambil bahagian bersama-sama pelajar dalam aktivti berkumpulan berkaitan Krisma seperti mengait stoking dan juga menghias dewan.

“Ini juga salah satu cara memastikan pelajar kita akan menunjukkan potensi dan peningkatan dalam pendidikan mereka.

“Melalui kerjasama dan sokongan ibu bapa secara proaktif sepanjang program yang diadakan mereka melakukan segalanya bersama-sama.

“Dibantu oleh warga sekolah, pelajar mampu mencerminkan apa yang mereka pelajari di sekolah kemudian dipraktikkan apabila mereka berada di rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sekolah Taarana yang terletak di SS3, Kelana Jaya, Selangor ditubuhkan pada 2011 oleh Yayasan RYTHM bagi memenuhi keperluan untuk sumber dan sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas serta keluarga mereka.

Sekolah ini berfungsi untuk memperkasakan pelajar berumur empat hingga 18 tahun yang menghadapi masalah dengan korikulum sekolah biasa disebabkan perkembangan akademik, sosial dan penyesuaian mereka yang perlahan.

Sekolah pada masa ini mengenakan yuran bulanan RM1,700 termasuk terapi pertuturan, pekerjaan dan tingkah laku, serta terapi lain seperti tarian, pergerakan dan yoga.

Mengulas lanjut, Dr. Sunita berharap di bawah kepimpinan kerajaan baharu dapat memastikan sekolah pendidikan khas seperti Taarana, mendapat sokongan dengan dilengkapi kemudahan yang kondusif supaya sesuai dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di bawah kategori tersebut.

“Pelajar pendidikan khas mungkin tidak dapat meningkat dari segi akademik namun amat penting bagi mereka untuk membesar menjadi individu yang dapat berdikari dengan melakukan aktiviti harian mereka.

“Oleh sebab itu kami memerlukan lebih banyak kelengkapan alat bantuan sesuai dengan keperluan para pelajar supaya kami boleh mengajar mereka bagaimana menguruskan kehidupan seharian dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Yayasan RYTHM telah menyumbang kepada komuniti menerusi perkongsian strategik, kerja sukarela dan khidmat masyarakat.

RYTHM yang bermaksud Raise Yourself to Help Mankind memegang nilai teras yayasan , berdasarkan kepada prinsip pemerkasaan, kesukarelawanan dan daya tahan. – MalaysiaGazette