Kairos Palestine antara organisasi Kristian Palestin menandatangani petisyen.

KUALA LUMPUR – Selepas dua institusi yang diterajui umat Kristian Palestin diserang Israel dan dimusnahkan tentera negara itu, satu petisyen dilancarkan bagi menarik perhatian pemimpin gereja di Barat mengenai penindasan yang dilakukan Zionis.

Dilancarkan hari ini, petisyen dalam talian tersebut merupakan satu surat terbuka ‘Panggilan untuk Bertaubat’ kepada pemimpin gereja dan ahli teologi

Petisyen berkenaan dimulakan dengan ayat daripada kitab Bible, “Belajar untuk melakukan yang betul; mencari keadilan; membela orang yang tertindas” (Isa 1:17).

Ditandatangani oleh 11 organisasi Kristian Palestin, petisyen berkenaan antara lain melahirkan rasa kecewa dan takut apabila ramai orang Kristian barat menawarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam serangan Israel terhadap rakyat Palestin.

Serentak itu, petisyen berkenaan mendesak pemimpin gereja dan ahli teologi Kristian untuk bertaubat.

“Walaupun kami mengenali banyak suara yang telah bercakap dan terus bercakap untuk tujuan kebenaran dan keadilan di negara kami, kami menulis untuk mencabar ahli teologi barat dan pemimpin gereja yang telah menyuarakan sokongan tanpa kritikan kepada Israel dan menyeru mereka untuk bertaubat dan berubah.

“Malangnya, tindakan pilih kasih sesetengah pemimpin Kristian telah mencederakan ‘saksi Kristian’ dan telah memesongkan pertimbangan moral dengan teruk terhadap keadaan di negara kita (Palestin),” katanya.

Menurutnya, pihak Kristian Palestin mengalu-alukan umat dan pemimpin agama itu dalam mengutuk semua serangan terhadap orang awam terutamanya keluarga dan kanak-kanak yang tidak berdaya.

Bagaimanapun mereka kesal dengan sikap berdiam diri ramai pemimpin gereja dan ahli teologi apabila Israel membunuh orang awam Palestin.

“Kami juga terkejut dengan keengganan beberapa orang Kristian barat untuk mengutuk pendudukan Israel yang berterusan di Palestin, dan, dalam beberapa keadaan, justifikasi dan sokongan mereka terhadap pendudukan itu.

“Tambahan pula, kami terkejut dengan bagaimana sesetengah orang Kristian telah menghalalkan serangan sewenang-wenang Israel yang berterusan ke atas Gaza, yang setakat ini, telah meragut nyawa lebih daripada 3,700 rakyat Palestin, yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak,” kataya.

Menurutnya, serangan Israel telah mengakibatkan kemusnahan besar Gaza dan pemindahan secara paksa lebih satu juta rakyat Palestin.

Tentera Israel telah menggunakan taktik yang menyasarkan orang awam seperti penggunaan bom fosforus putih, memotong air, bahan api, dan elektrik, dan pengeboman sekolah, hospital, dan tempat ibadat.

Ini masuk pembunuhan beramai-ramai  di Al-Ahli Anglican -Hospital Baptist dan pengeboman Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius yang telah menghapuskan seluruh keluarga Kristian Palestin.

Turut dikesali apabila pihak Kristian barat berdiam diri pembunuhan wartawan Amerika Syarikat berketurunan Palestin beragama Kristian Shireen Abu Akleh pada 2022 dan pembunuhan 300 orang Palestin termasuk 38 kanak-kanak di Tebing Barat sepanjang tahun ini.

“Akhirnya, dan kami mengatakannya dengan hati yang hancur, kami meminta pemimpin gereja barat dan ahli teologi yang berada di belakang peperangan Israel bertanggungjawab atas keterlibatan teologi dan politik mereka dalam jenayah Israel terhadap rakyat Palestin, yang telah dilakukan sejak 75 tahun lalu.

“Kami menyeru mereka untuk memeriksa semula kedudukan mereka dan mengubah hala tuju mereka, mengingati bahawa Tuhan “akan menghakimi dunia dengan adil” (Acts 17:31),” katanya.

Petisyen tersebut ditandatangani Kairos Palestine, Christ at the Checkpoint Bethlehem Bible College, Sabeel Ecumenical Center for Liberation Theology, Dar al-Kalima University dan Al-Liqa Center for Religious, Heritage and Cultural Studies in the Holy Land.

Turut mendandatangani The East Jerusalem YMCA, The YWCA of Palestine Arab Orthodox Society Jerusalem, Arab Orthodox Club Jerusalem, The Department of Service to Palestinian Refugees of the Middle East Council of Churches dan Arab Education Institute Pax Christi, Bethlehem.

Petisyen tersebut boleh dilayari di  ‘Panggilan untuk Bertaubat’ .-MalaysiaGazette