Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kru kabin pesawat yang melakukan penerbangan setiap hari khususnya ke Sabah dan sebaliknya tidak perlu dikuarantin kecuali mereka menunjukkan gejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 secara berkala untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa terjamin daripada jangkitan.

“Kalau kita lihat kru hanya mengkuarantin mereka sekiranya menunjukkan tanda-tanda bergejala atau pun ada kontak rapat dengan kes positif.

“Kalau mereka didapati negatif tidak akan dikuarantin dan begitu juga dengan penumpang SOP sama digunakan oleh pasukan petugas kesihatan dan kawalan kendiri atau kuarantin.

“Namun kita sudah menasihatkan kru-kru kabin pesawat untuk sentiasa memakai pelitup muka dan goggle dan memastikan mencuci tangan dan sebagainya,” kata beliau dalam sidang media perkembangan semasa Covid-19 hari ini.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada kru kabin pesawat diwajibkan memakai Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan kenapa tidak dikuarantin kerana meneruskan perjalanan bersama pesawat yang membawa penumpang dari Sabah.

Tambah Noor Hisham, mereka dinasihati sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan semasa berada dalam pesawat.

“Kita sentiasa menjalankan ujian kesihatan secara berkala untuk kru-kru kabin pesawat yang terlibat dalam tugas penerbangan.

“Kalau mereka terbang setiap hari takkan kita nak libatkan mereka dalam ujian saringan setiap hari,” tegasnya.-MalaysiaGazette