Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN) memberi jaminan perkhidmatan awam terutama anggota barisan hadapan sentiasa memberikan komitmen penuh memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan.

Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, anggota perkhidmatan awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawab seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui Ketua-ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan ketua-ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa dalam tempoh ketiadaan Jemaah Menteri berikutan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri hari ini.

Kata beliau, mereka berpegang teguh kepada ikrar perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Perkhidmatan awam komited mendokong konsep berkecuali dan pemerintahan masa kini berlandaskan peraturan undang-undang.

“Jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengah hari tadi, Muyhiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyembahkan warkah peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Kabinet berkuatkuasa serta merta.

Tindakan itu diambilnya selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti untuk membolehkan beliau terus menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Mohd Zuki, sepanjang kerajaan caretaker, anggota keselamatan terutama polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

“Segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik Covid-19 ini.

“Perkhidmatan awam telah mengemudi pelayaran penuh liku dalam pelbagai konflik dan situasi yang mencabar. Layarnya perlu selari dengan tiupan bayu, dikemudi cekap dan arahanya menepati destinasi yang hendak dilabuhkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun gelora dan badai melanda, pelayaran itu akan diteruskan bagi melaksanakan tanggungjawab demi negara. – MalaysiaGazette