KUALA LUMPUR – Restoran Kualiti Sdn. Bhd. (RKSB), anak syarikat milik penuh KUB Malaysia Berhad melupuskan 100 peratus kepentingannya dalam A&W (M) Sdn. Bhd. kepada InterMark Resources Sdn. Bhd. (IMRSB) pada harga RM34 juta.

Cadangan pelupusan itu dijangka merekodkan keuntungan bersih kira-kira RM18.0 juta termasuk pembayaran baki antara syarikat sebanyak RM4 juta.

“Harga sebanyak RM34 juta itu meliputi RM30 juta untuk kepentingan ekuiti A&W dan baki RM4 juta lagi untuk pembayaran balik baki antara syarikat,” kata KUB kepada Bursa Malaysia.

Cadangan pelupusan itu berdasarkan ‘sedia beli dan sedia menjual’

Jelas syarikat itu, RM30 juta itu adalah untuk kepentingan keseluruhannya dan mengambil kira kedudukan kewangan, prestasi restoran makanan segera itu, kedudukan pasaran dan prospek sedia ada.

Katanya, pihak-pihak terbabit juga mengambil pertimbangan pembayaran semula baki antara syarikat yang dimiliki oleh A&W kepada KUB sehingga RM4 juta, anggaran pinjaman bank oleh A&W dan bayaran francais yang dibayar kepada A Great American Brand International Pte Ltd.

Di bawah perjanjian ini, RKSB bersetuju untuk melupuskan 61.41 juta saham terbitannya, yang mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti dalam A & W, kepada IMRSB.

IMRSB adalah syarikat persendirian, yang mana pemegang kepentingan prinsipalnya adalah Ang Choon Yan.

Beliau juga merupakan pemegang kepentingan dalam Revenue Valley Sdn Bhd yang memiliki Tony Roma’s dan The Manhattan Fish Market.

Menurut KUB, cadangan pelupusan itu membolehkan ia fokus kepada perniagaan teras.

Pelupusan itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh perjanjian. – MalaysiaGazette