Ahli keluarga terdekat kepada Allahyarham, Adnan Othman ketika di Tanah Perkuburan Islam Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Suasana pilu dan hiba menyelubungi perkarangan Tanah Perkuburan Islam Makan Raja Jumaat apabila anak sulung anggota bomba, Allahyarham Adnan Othman asyik bertanyakan di mana kubur ayahnya.

Aisyah Damira, 5 yang duduk di pangkuan ibunya Nor Shahmiza Salleh berkali-kali bertanyakan kubur ayahnya.

Mendengar pertanyaan Aisyah itu menyebabkan orang ramai berasa sayu hingga mengalirkan air mata.

Allahyarham Adnan Othman, 33 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Raja Jumaat, Lukut pada pukul 2.10 petang tadi.

Hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Adnan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

MGF04102018_JENAZAH MANGSA BOMBA_15
Ibu dan bapa kepada salah seorang daripada 6 mangsa anggota bomba lemas, Roanni Abdullah (kanan) dan Othman Surati tidak dapat menahan sedih semasa di Tanah Perkuburan Islam Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2018

Allahyarham Adnan adalah antara enam ahli bomba yang maut selepas lemas ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam yang dipercayai terjatuh dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong petang semalam.

Lima lagi rakan Adnan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang yang meninggal dunia ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.- MalaysiaGazette