Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis mungkin memanggil M. Kulasegaran untuk diambil keterangan dalam isu Melayu sebagai pendatang yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Menteri Sumber Manusia itu hanya akan dipanggil sekiranya ada keperluan.

“Banyak laporan sudah dibuat dan kita masih dalam proses melengkapkan siasatan, kertas siasatan belum lengkap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Maktab Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Cheras di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Seminar PDRM Mendepani Cabaran Dalam Kepolisan Moden anjuran bersama Polis dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Turut hadir ialah Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail hari ini.

Dalam isu Kula Segaran lagi, beliau ditanya bila Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu akan dipanggil polis,  Mohamad Fuzi tidak mahu memberi komen lanjut mengenainya.

“Saya tak boleh komen soalan ini kerana kena melihat kepada keperluan siasatan kes itu (panggil Kula Segaran). Saya juga kena panggil dan bertemu pegawai-pegawai saya yang terlibat (menyiasat kes),” tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Kula Segaran pada tiga hari lepas telah meminta maaf susulan kontroversi berhubung dakwaan beliau menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang ke Tanah Melayu.

Katanya, permohonan maaf itu dibuat untuk mengelak isu itu berlarutan dan mengeruhkan keadaan.- MalaysiaGazette