M. Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran

KUALA LUMPURĀ – Menteri Tenaga Manusia, M.Kulasegaran memberi tempoh sebulan kepada Mahkamah Perusahaan untuk menyelesaikan 1,970 kes tertunggak setakat 30 April lalu.

Beliau berkata, kes tertunggak itu perlu disegerakan memandangkan ia melibatkan ‘soal perut’ pekerja dan keluarganya tanpa perlu mereka menunggu dalam tempoh lama seperti sebelum ini.

“Terdapat 1,970 kes dan kita harap dapat percepatkan kes tertunggak ini dalam tempoh tiga bulan, (tapi) saya beritahu mereka kena siapkan dalam sebulan

“Mereka (Mahkamah Perusahaan) mungkin kena datang balik di waktu malam, Sabtu Ahad dan cuti umum untuk melupuskan kes-kes ini.

“Ia tidak adil buat pekerja untuk menunggu tempoh yang lama,” katanya pada sidang media di Wiswa Perkeso, di sini, hari ini.

Menteri Tenaga Manusia, YB Tuan M. Kulasegaran (tengah) diiringi Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan, Tuan Eddie Yeo Soon Chye (dua kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Mohd Gazali Abad (kiri) pada Program Lawatan YB Menteri Tenaga Manusia ke Mahkamah Perusahaan Malaysia di Wisma PERKESO, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 MEI 2018

Sehingga 30 April lalu, Mahkamah Perusahaan telah mengendalikan sebanyak 3,687 kes di mana 912 kes daripadanya telah dilupuskan.

Sebanyak 10 jawatankuasa bertindak Mahkamah Perusahaan ditubuhkan pada 14 Mac 2018 untuk mendengar dan melupuskan kes 2017 dan sebelumnya.

Kulasegaran juga berkata, beliau memberi keutamaan kepada kes tertunggak yang dirujuk oleh menteri kepada Mahkamah Perusahaan sepanjang 2018.

“Kalau anda berada di Ipoh atau di Kuala Lumpur, bila anda kena pecat, pergi ke Jabatan Perusahaan untuk merujuk perkara itu.

“Dia boleh rujuk kes itu dalam tempoh 60 hari dan lepas itu penyiasatan akan dibuat di mana pekerja dan majikan duduk sama untuk menyelesaikan kes.

“Jika tidak boleh, dengan asas-asas yang tertentu dia akan dirujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, selaras dengan dasar kebajikan yang dilaungkan Pakatan Harapan, beliau berharap kes tertunggak pekerja ini dapat disiapkan secepat yang mungkin

“Isu pekerja ini adalah hal ehwal mengenai perut dan keluarga, kes ini perlu dilupuskan secepat mungkin

“Saya akan bantu dalam proses ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette