Pemain Argentina kecewa sepeas pasukan itu seri tanpa jaringan dengan Peru pada perlawanan kelayakan Piala Dunia kumpulan Amerika Selatan awal pagi tadi.

BUENOS AIRES – Argentina berada dalam keadaan genting untuk layak ke Piala Dunia 2018 selepas pasukan itu seri tanpa jaringan dengan Peru awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia sebanyak dua kali dan naib juara pada 2014 kini mengumpul 25 mata dan berada pada tangga keenam kumpulan Amerika Selatan yang mengandungi 10 pasukan, dengan empar pasukan teratas layak secara automatik pada kejohanan di Rusia.

Kini tempat kelima dihuni Peru, layak untuk perlawanan kalah mati.

Bagi perlawanan terakhir kumpulan itu, Argentina akan berdepan Ecuador di Quito pada Selasa ini.

Peru yang mengintai peluang untuk beraksi pada Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 36 tahun akan menunggu kunjungan Colombia di Lima.

Brazil telah layak ke Rusia dengan 38 mata manakala Uruguay yang mengumpul 28 mata hanya perlu seri untuk melangkah ke pusingan akhir pada perlawanan terakhirnya menentang Bolivia.

Chile menghuni tangga ketiga dalam kumpulan itu disusuli Colombia pada tempat keempat dengan masing-masing mengumpul 26 mata.

Argentina yang dibimbing tiga jurulatih dalam kempen kelayakan itu menghadapi kesukaran menjaringkan gol.

Bagaimanapun, pasukan itu telah berusaha keras dengan percubaan penyerangnya, Lionel Messi terkena tiang gol yang menyaksikan pasukan yang dibimbing Jorge Sampaoli itu mencatatkan tiga kali seri berturut-turut dalam pusingan kelayakan.

Argentina menguasai sebahagian besar permainan selain mencipta beberapa peluang jaringan namun cubaan terbaik jarang dapat dilihat.

Messi yang merembat kencang ke arah gol hasil sepakan sudut Angel Di Maria digagalkan penjaga gol, Pedro Gallese pada separuh masa pertama dan selepas itu cubaannya di penjuru kotak penalti tersasar.

Bagaimanapun, Peru nyaris mendahului namun cubaan Jefferson Farfan tersasar.

Argentina sepatutnya mendahului pada lewat separuh masa pertama apabila tandukan Dario Benedetto hasil hantaran Messi melepasi palang gol.

Sebaik sahaja permainan bersambung, Argentina terus mengatur serangan dan mempunyai dua peluang terbaik untuk mendahului.

Percubaan Messi terkena tiang selepas bola tampanan Gallese menuju ke arahnya dan selepas itu penjaga gol tersebut menyelamatkan cubaan jarak jauh Lucas Biglia.

Gallese juga menyelamat cubaan jarak dekat Papu Gomez manakala percubaan pemain simpanan, Emiliano Rigoni tersasar jauh.

Pemain tengah Boca Junior, Fernando Gago menggantikan Ever Banega selepas sejam perlawanan berlangsung namun dia hanya bertahan selama 10 minit sebelum mengalami kecederaan lutut dan digantikan dengan Enzo Perez.

Penyerang Peru, Paolo Guerrero hampir menamatkan kebuntuan apabila sepakan percumanya yang ditepis penjaga gol Argentina, Sergio Romero melepasi palang gol. – Agensi